BOLA SEPAK
Kelayakan Euro 2020: Pellegrini tersenarai dalam skuad Itali
Luca Pellegrini tersenarai dalam skuad Itali bagi menghadapi kempen kelayakan Euro 2020 menentang Armenia dan Finland bulan depan.
Pertahanan kiri itu menyertai Juventus daripada AS Roma, Jun lalu, namun dipinjamkan kepada Cagliari -- pasukan di mana dia menghabiskan separuh kedua kempen 2018-19.
Pemain berusia 20 tahun itu menerima panggilan skuad kebangsaan buat kali pertama dengan ketua jurulatih, Roberto Mancini, mengekalkan rancangannya untuk menggunakan kudrat pemain muda dalam setiap kejohanan utama.
Iklan
Bagaimanapun, pemain muda yang tidak terpilih kali ini ialah Moise Kean.
Penyerang Everton itu menjaringkan gol kemenangan ke atas Finland dan Liechtenstein, Mac lalu, sebelum menjadi sebahagian daripada skuad B-21 negara itu dalam Kejohanan Eropah, Jun lalu.
Nicolo Zaniolo dan Cristiano Biraghi, yang melengkapkan perpindahan ke Inter Milan kelmarin, juga tidak berada dalam senarai 26 pemain yang terpilih.
Dua pemain berpengalaman Juventus, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini, pula tersenarai sementara Emerson Palmieri mengekalkan tempatnya selepas memaparkan permulaan baik bersama Chelsea musim ini.
Itali, yang menduduki tangga teratas Kumpulan J hasil kemenangan dalam keempat-empat perlawanan pertama, akan bertandang ke Armenia, Khamis depan sebelum berdepan Finland tiga hari kemudian.
Senarai pemain Itali:
Gianluigi Donnarumma (AC Milan), Pierluigi Gollini (Atalanta), Alex Meret (Napoli), Salvatore Sirigu (Torino), Leonardo Bonucci (Juventus), Giorgio Chiellini (Juventus), Mattia De Sciglio (Juventus), Emerson (Chelsea), Alessandro Florenzi (AS Roma), Armando Izzo (Torino), Gianluca Mancini (AS Roma), Luca Pellegrini (Cagliari), Alessio Romagnoli (AC Milan), Nicolo Barella (Inter Milan), Bryan Cristante (AS Roma), Jorginho (Chelsea), Lorenzo Pellegrini (AS Roma), Stefano Sensi (Inter Milan), Marco Verratti (Paris Saint-Germain), Andrea Belotti (Torino), Federico Bernardeschi (Juventus), Federico Chiesa (Fiorentina), Stephan El Shaarawy (Shanghai Shenhua), Ciro Immobile (Lazio), Lorenzo Insigne (Napoli), Kevin Lasagna (Udinese).
Must-Watch Video