Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kelantan-Sarawak terikat di Kota Bharu

zlk_2392.jpg
KELANTAN 0 SARAWAK 0

Hajat Kelantan memburu kemenangan kedua di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila terikat 0-0 dengan Sarawak dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


The Red Warriors (TRW) yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang minggu lalu hanya menurunkan seorang pemain import, Flavio Beck Junior, manakala Mustafa Zazai terus diketepikan.

Sarawak memulakan permainan tetapi Kelantan hampir mendapatkan gol pertama melalui sepakan kencang Junior dari luar kotak penalti, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gawang, Shaiful Wazizi Mohammad, pada minit keenam.

Selepas setengah jam permainan, jentera serangan Bujang Senang yang diketuai kapten, Bobby Gonzales, dan Hudson Dias De Jesus masih gagal menghadirkan sebarang ancaman ke kubu Kelantan yang dikawal penjaga gol, Abdul Arif Abdullah.

Pemain muda TRW, Mohamad Hakimi Abdullah, hampir meletakkan tuan rumah di depan, namun bola rembatan kencangnya sekadar singgah di palang ketika Shaiful Wazizi sudah tertewas pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sarawak meningkatkan serangan ke kubu tuan rumah dan Bobby hampir menjaringkan gol pertama pasukan pelawat, namun bola sepakannya terkena tiang pada minit ke-59.

Lima minit kemudian, Bobby sekali lagi kecewa apabila sepakan leretnya gagal menemui sasaran biarpun Abdul Arif sudah tertewas. 

Kelantan kembali menyerang mencari gol pembukaan, malangnya rembatan deras pemain simpanan, Mohamad Amirul Shafik Che Soh, tersasar pada minit ke-70.

Kapten Sarawak, Bobby, terus kecewa apabila sepakan leretnya hasil umpanan cantik De Jesus terbias di sebelah kiri tiang gol Kelantan pada minit ke-89. 

Keputusan seri  malam ini menyaksikan TRW terus berada di tangga tercorot liga dengan lapan mata manakala Sarawak kekal di tempat ke-10 dengan sembilan mata.

Advertisement

Must Watch Video