Skip to main content

Bola Sepak

Kelantan terhumban ke dasar liga

img-20190412-wa0033.jpg
KELANTAN 0 PDRM 1

Hajat Kelantan memburu kemenangan lebur apabila kalah 1-0 kepada PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


The Red Warriors (TRW) yang turun beraksi dengan pelbagai masalah yang melanda kembali dibimbing Jorg Peter Steinebrunner selepas ketua jurulatih, Marko Kraljevic, melepaskan jawatan.

PDRM yang masih segar daripada kemenangan 5-2 ke atas Sarawak dalam saingan Piala FA turun dengan misi mahu mencari kemenangan pertama dalam liga.

Kelantan memulakan permainan dan hampir mendapatkan gol pertama melalui sepakan percuma penyerang bawah 23 kebangsaan, Nik Azli Nik Alias, namun terkena palang pada minit keempat.

Setengah jam permainan, jentera serangan The Cops yang diketuai penyerang, Patrick Ronaldinho Wleh, masih gagal menghadirkan sebarang ancaman ke kubu Kelantan yang diketuai penjaga gol, Abdul Arif Abdullah.

Bersambung babak kedua, PDRM membuat pertukaran dengan mengeluarkan Mohamad Shukor Azmi dan memasukkan pemain tengah,  Muhammad Fakrul Aiman Sidid, bagi memantapkan jentera tengah Sang Saka Biru.

Pada minit ke-60, pemain tengah PDRM, Andre Francisco Da Silva, melakukan rembatan kencang dari luar kawasan penalti, namun berjaya ditepis keluar Abdul Arif.

Enam minit kemudian, Muhammad Fakrul Aiman hampir meletakkan PDRM di depan tetapi sepakannya di dalam kotak penalti melambung melepasi palang biarpun Abdul Arif sudah tertewas.

Kelantan kembali menyerang mencari gol pembukaan, namun rembatan deras pemain import kelahiran Brazil, Flavio Beck Junior, berjaya ditepis keluar Mohd Shahril pada minit ke-70.

Pemain import The Cops, Lee Changhoon, akhirnya berjaya menewaskan Abdul Arif melalui sepakan leret pada minit ke-83 hasil umpanan kapten, Shahurain Abu Samah.

Kekalahan malam ini menyaksikan TRW menderita di tangga tercorot liga dengan empat mata manakala PDRM naik satu anak tangga ke tempat ke-10 dengan lima mata.

Kredit Foto: Kelantan FA

Keputusan lain:

JDT II 3 NEGERI SEMBILAN 0

Advertisement

Must Watch Video