Skip to main content

Bola Sepak

Kelantan Red Warrior bakal ke ACLE,ACL2 pada 2035

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

krw.jpg
Pelan jangka masa panjang yang sangat menarik dikongsikan oleh Kelantan Red Warrior (KRW) yang bakal menempa nama dalam Liga Malaysia (Liga-M) pada masa akan datang. 

Penubuhan KRW semakin serius apabila memperkenalkan perancangan bersifat realistik melibatkan tiga fasa demi melihat kelab itu berjaya menjelang 2030. 

Ia diumumkan sebagai 'roadmap to glory'. Bermula dengan pelantikan bekas ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, pencarian bakat tempatan, perjanjian bersama penaja dan mengumpul kekuatan bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro pada musim hadapan. 

Menerusi laporan Stadium Astro sebelum ini, pengendali berusia 74 tahun itu meletakkan sasaran supaya kelab pantai timur itu akan beraksi dalam Liga Super pada musim 2026/27. 

Ia termasuk dengan pendedahan Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, mengesahkan pihaknya akan melaksanakan paras gaji siling sendiri bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji berbangkit pada masa akan datang.




Ujarnya, pihak pengurusan KRW telah menetapkan kadar gaji maksimum dengan anggaran RM10,000 sebulan bagi pemain tempatan manakala tidak melebihi RM20,000 sebulan bagi pemain import.

Pengenalan langkah bernas itu bertujuan mengekalkan identiti bola sepak Kelantan, selain memastikan KRW kekal stabil dan mampu bersaing dalam kancah domestik secara berterusan. 

KRW sudah memasuki Fasa 1 di mana mereka telah merealisasikan segala permulaan dengan berjaya iaitu penubuhan kelab, model kewangan dan penyertaan dalam saingan tempatan. 

Memasuki Fasa 2, KRW memasang cita-cita membuka akademi akar umbi dan memberi fokus kepada peningkatan peminat menyokong pasukan itu. 

Dan paling menarik, Fasa 3 menyaksikan KRW sudah memiliki nilai komersial yang tinggi dan meletakkan hasrat untuk bermain di peringkat tertinggi Asia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), mahupun Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di bawah pengelola, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Advertisement

Must Watch Video