Skip to main content

Bola Sepak

Kelancangan Sergio Ramos buat PSG tempang

sergio-ramos.jpg
REIMS 0 PSG 0

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier, mempersoalkan tindakan pengadil, Pierre Gaillouste, kerana melayangkan kad merah kepada pertahanan, Sergio Ramos, pada minit ke-41 ketika seri tanpa jaringan di Reims, malam tadi. 


Ramos menerima kad kuning dalam perlawanan Ligue 1 terbabit terlebih dahulu dan kurang seminit selepas itu, ia bertukar kepada kad kuning kedua kerana membantah keputusan Giallousste.

"Saya tidak pasti sama ada dia bersalah atau tidak," kata Galtier selepas perlawanan yang dipetik daripada L'Equipe.

 

“Mula-mula dia (Ramos) menerima kad kuning. Saya pernah mengalami situasi ini beberapa tahun lalu dalam perlawanan membabitkan Nimes-Lille. Masalahnya ia bukan mengenai budaya, sebaliknya bahasa bola sepak. 

"Saya pasti Sergio tidak berniat untuk menghina pengadil tetapi hanya menggunakan ungkapan yang saya dengar ratusan kali sepanjang minggu.

“Ia boleh terjadi tanpa ia ditujukan kepada sesiapa pun. Ia adalah satu ungkapan. Saya fikir pada masa itu, pengadil mungkin tidak bertindak secara bijaksana dan sentap. 

 

"Saya pernah mempunyai kebimbangan ini terhadap Jose (Fonte-- pertahanan Lille). Pengadil menganggap ucapannya sebagai satu penghinaan terhadapnya sedangkan ia hanya perkara yang sering diperkatakan di atas padang.”

Dalam masa sama, Galtier menjelaskan pemainnya harus kerap bertukar hantaran apabila pihak lawan berkampung di kubu sendiri tatkala dia merehatkan Lionel Messi. 

“Ironinya, selepas kehilangan seorang pemain, kami beraksi lebih baik dalam separuh masa kedua.

"Sudah tentu terdapat banyak perubahan dalam kesebelasan utama kami jadi ia mungkin menyebabkan kurangnya persefahaman antara mereka dalam separuh masa pertama. Tetapi dalam babak kedua keadaan berjalan lebih baik. 

"Tetapi saya tidak pasti sama ada kami boleh katakan bahawa kami layak untuk menang.

"Saya rasa kita mempunyai beberapa peluang menarik termasuk satu lawan satu, tetapi akhirnya ia adalah satu keputusan yang adil.”

Advertisement

Must Watch Video