Skip to main content

Bola Sepak

Kekerapan beraksi jadi keutamaan Mbappe

mbappe-230517.jpg
Bintang remaja sensasi AS Monaco, Kylian Mbappe, menegaskan dia tidak akan dipaksa untuk berhijrah ke destinasi yang tidak dihajatinya dengan menekankan kepentingan peluang beraksi di sebalik dikaitkan dengan Real Madrid.

Mbappe beraksi cemerlang dalam kancah Perancis dan Eropah musim ini sehingga dinobatkan Pemain Muda Terbaik Ligue 1 yang menyaksikan Monaco merakamkan gelaran liga buat kali pertama sejak 2000.

Perpindahannya disebut-sebut bakal melibatkan rekod dunia selepas pemain antarabangsa Perancis berusia 18 tahun itu dilaporkan menarik minat yang serius daripada Madrid, Manchester United, Arsenal, Liverpool dan Manchester City.

"Saya akan membuat pilihan berdasarkan kerjaya dan yang pertama sekali, saya berada dalam tempoh di mana saya perlu beraksi," katanya kepada beIN Sports.

"Saya bukannya berusia 35 atau 36 tahun di mana saya perlu mengurus keadaan fizikal. Saya masih perlu banyak belajar. Tahun ini adalah penemuan dan kini tiba langkah yang paling penting: Pengesahan.

"Dan saya yang akan membuat keputusan dan tidak didesak untuk pergi ke mana-mana tempat yang saya tidak hajati."

Ditanya sama ada Piala Dunia akan memberi kesan terhadap keputusannya, Mbappe berkata: "Ia tidak akan menjadi masalah, saya sudah terbiasa dengan tekanan sejak awal lagi.

"Saya belajar untuk mengendalikannya, saya sudah terbiasa dengannya dan ia adalah sebahagian daripada persekitaran yang sama sekali tidak mengganggu saya, keluarga dan  juga kelab. "

 

Advertisement

Must Watch Video