Drama perpindahan pemain Liverpool membuat penyokong dan penganalisis menggaru kepala kehairanan.

Dahulunya Liverpool disegani atas kemampuan menyempurnakan urusan pembelian pemain dengan efisien serta pemain yang mereka beli tidak pernah mengecewakan, namun apa yang berlaku dalam jendela perpindahan musim panas lalu sedikit-sebanyak mencemarkan reputasi itu.

Setelah kehilangan tiga tonggak barisan tengah, Jordan Henderson, Fabinho dan James Milner, Liverpool meletakkan sasaran terhadap dua pemain muda, Moises Caicedo dari Brighton dan Romeo Lavia dari Southampton sebagai pengganti.

Tidak setakat di atas padang, mereka turut harus menghadapi saingan Chelsea untuk mendapatkan kedua-dua pemain itu.

Segala-galanya kelihatan berjalan lancar apabila Brighton bersetuju menerima tawaran £111 juta (RM652 juta) daripada Liverpool, namun malang sekali Caicedo menolaknya.

Dengan pantas, Chelsea melakukan tawaran lebih tinggi, iaitu £115 juta (RM676 juta), Brighton bersetuju dengan gembiranya, dan selamatlah Caicedo menuju ke pangkuan kelab London itu, membuatkan Liverpool menggigit jari.

Tidak cukup dengan itu, laporan Daily Mail menyatakan skrip yang sama berulang buat pembelian Lavia -- pemain itu memilih untuk menyertai Chelsea seiringan dengan Caicedo dan menolak Liverpool.

Kekecewaan berganda ini membuatkan bekas pemain legenda Liverpool, Jamie Carragher, melabelkan bekas kelabnya sebagai satu jenaka besar dalam program Monday Night Football.

Carragher menyorot ketidakstabilan struktur pengurusan kelab yang menyaksikan jawatan pengarah sukan bertukar ganti pada kadar cukup kerap sebagai salah satu punca utama kegagalan Liverpool kali ini.

“Dalam tempoh 18 bulan, Liverpool mempunyai empat pengarah sukan yang berbeza. Masalahnya di sini adalah tidak seorang pun daripada mereka berjaya menyempurnakan pembelian yang mendatangkan impak besar, sedangkan itu adalah tugas utama mereka,” tegasnya.

Mungkin tidak ramai yang kenal nama Michael Edwards, bekas pengarah sukan Liverpool yang memegang peranan itu selama 10 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2021.

Dia adalah wira tidak didendang yang membawa masuk pemain-pemain paling penting buat Liverpool seperti Virgil Van Dijk, Alisson Becker dan Mohamed Salah.

Ketiadaan Edwards sememangnya memainkan peranan besar dalam kegagalan Liverpool kali ini manakala sebaliknya pula buat Chelsea.

Laporan laman sesawang football.london menyatakan bahawa pengarah perekrutan Chelsea, Joe Shields, telah memupuk hubungan akrab dengan Lavia sejak awal lagi, disebabkan itulah pemain tersebut lebih selesa untuk memilih Chelsea pada akhirnya.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang dikenali sebagai seorang yang cukup teliti dalam aspek pembinaan pasukan, kini perlu menyelesaikan masalah yang tidak biasa dihadapinya – mendapatkan pemain yang mencukupi untuk beraksi di bahagian tengah pasukan.



Kekurangan pemain berpengalaman di bahagian itu cukup terasa sewaktu Liverpool hanya mampu seri 1-1 dengan Chelsea dalam perlawanan pertama mereka musim ini, di mana Enzo Fernandez dari Chelsea dilihat menguasai sepenuhnya bahagian tengah dan menenggelamkan kesemua pemain Liverpool yang lain.

Liverpool bakal menerima kunjungan Bournemouth dalam saingan seterusnya dan penyokong berharap agar segala nasib malang yang melanda dapat diperbetulkan dengan kadar segera agar pasukan dapat memperkukuhkan kedudukan secepat mungkin dan sekali lagi bersaing merebut takhta juara.