Skip to main content

Bola Sepak

Kekalahan kepada Madrid pemangkin musim hebat Liverpool -- Robertson

anderwrobertson.jpg
Andy Robertson berkata kekecewaan dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu menjadi pemangkin kepada musim hebat Liverpool kali ini.

The Reds tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam aksi final, Mei tahun lalu, namun bangkit dengan bergaya sepanjang musim ini.

Mereka menamatkan Liga Perdana Inggeris di tempat kedua di belakang Manchester City selepas mengumpulkan 97 mata selain mara ke final Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut -- akan bertemu Tottenham Hotpsur hujung minggu ini.

Robertson, yang melakukan 47 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini, menyifatkan kempen hebat itu tiba selepas kekecewan di tangan Madrid dan dia bertekad untuk menebus kehampaan itu dalam final musim ini.

"Ia tentang bagaimana kami memanfaatkan kekecewaan dalam aksi final itu," katannya dalam laman web rasmi pasukan.

"Mujurlah kami menggunakannya sebagai kelebihan.

"Kami menggunakannya sebagai motivasi.

"Kami memanfaatkannya sebagai motivasi sewaktu pra-musim untuk meningkatkan kecergasan, terutama kekuatan kaki.

"Jadi, kami lebih bersedia dan berkeazaman untuk memulakan musim dengan baik.

"Saya rasa pasukan boleh melalui satu atau dua jalan ketika mereka sedang kecewa.

"Ia boleh membuatkan mereka mengalah dan bergelut.

"Mujur ia tidak berlaku kepada kami.

"Sudah pasti kami tidak mahu berdepan perasaan itu lagi kerana saya masih mengingati bagaimana perasaan saya selama beberapa hari selepas aksi final itu.

"Ia bukanlah perasaan yang baik.

"Anda mahu menjadi pasukan yang menang, sudah pasti anda mahukannya.

"Kami akan melakukan segala-galanya agar perasaan itu tidak berulang musim ini," katanya.

Liverpool menewaskan Spurs dalam kedua-dua aksi liga musim ini dengan yang terbaru ketika di Anfield, Mac lalu.

Namun, Robertson tidak berasakan bahawa keputusan itu akan mempengaruhi aksi di Wanda Metropolitano, hujung minggu ini.

"Saya tidak fikir kami boleh mengharapkan apa-apa melalui dua kemenangan liga itu.

"Final hanya satu perlawanan dan anda perlu menangani emosi tentang kebesaran perlawanan itu dan perkara-perkara seperti itu.

"Anda juga perlu mencuba untuk memberikan prestasi terbaik.

"Kami sedar jika kami tidak beraksi baik, kami tidak akan berpeluang. Begitu juga mereka.

"Namun, jika kedua-dua pasukan memberikan yang terbaik, kita akan lihat siapa yang akan menjadi juara.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, namun saya tidak fikir kami boleh membandingkannya dengan aksi liga kerana senarionya pasti berbeza," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video