BOLA SEPAK
Kejuaraan Celtic tugas paling berat, kata Lennon
Neil Lennon menyifatkan kejayaan membawa Celtic menjuarai Liga Perdana Scotland musim ini sebagai tugasan paling mencabar selepas pasukannya mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut sebaik menewaskan Aberdeen 3-0 di Stadium Pittodrie, malam tadi.
Gol daripada Mikael Lustig, Jozo Simunovic dan Odsonne Edouard memastikan skuad kendalian Lennon itu meraikan kejuaraan ke-50 secara keseluruhan, namun pengurus sementara itu berkata kejayaan berkenaan dicapai melalui keadaan yang lebih sukar berbanding dengan apa yang terlihat.
Sejak menggantikan Brendan Rodgers, Februari lalu, menerusi perjanjian sehingga hujung musim ini, Lennon mengekalkan rekod tanpa kalah pasukannya menjelang dua perlawanan terakhir liga musim ini selain final Piala Scotland, 25 Mei ini.
Iklan
"Ia 11 perlawanan tanpa kalah, namun ia tidak dirasakan seperti itu disebabkan beberapa kritikan yang dilemparkan kepada kami," katanya kepada Sky Sports.
"Namun, anda perlu mengabaikannya, kekal fokus dan pasukan dan pemain saya telah melakukannya dengan amat baik.
"Ia tugasan paling sukar buat saya sebagai pengurus," kata pengendali berusia 47 tahun itu, yang memenangi tiga kejuaraan berturut-turut selaku pengurus The Hoops dari 2010 hingga 2014.
"Saya sedar orang luar akan menganggapnya mudah, namun ia amat sukar untuk diri saya sendiri.
"Terlalu banyak ketidakpuasan dalam pasukan ini dan sedikit agitasi tetapi pemain telah membantu saya dan saya gembira untuk menganggap yang saya telah membantu mereka.
"Ia amat istimewa untuk berada di sini sebagai pengurus sementara atau apa-apa pengurus pada hari anda mengesahkan kejuaraan.
"Ia amat istimewa," katanya.
Lennon merakamkan penghormatannya buat bekas pengurus, Rodgers, yang menjuarai dua musim berturut-turut sepanjang tiga tahun di Celtic Park.
Dia turut memuji pemainnya yang tetap bertenang selepas menghadiri pengebumian legenda kelab itu, Billy McNeill.
"Ia merupakan saat terindah buat kelab ini dan saat terhebat buat pemain dan penyokong kerana mereka amat penting buat kami.
"Pemain kami sentiasa luar biasa.
"Mereka adakalanya mendatangkan kegusaran buat saya melalui cara mereka bermain dan memanfaatkan peluang.
"Saya perlu merakamkan pernghormatan buat Brendan.
"Saya perlu memberikan pujian kepadanya di atas kejayaan ini kerana dia membina asas yang kukuh dalam pasukan ini.
"Saya amat bertuah untuk meneruskan usahanya dan ia merupakan saat terhebat buat saya dan keluarga saya.
"Ia amat baik untuk berlaku pada minggu ini.
"Kami kekal bertenang walaupun berdepan pelbagai emosi sepanjang minggu ini selepas menghadiri pengebumian Billy.
"Terlalu banyak perkara negatif yang menyelubungi kami dan saya juga terpaksa mendengar berita-berita palsu, namun pemain menghadapinya dengan amat baik," katanya.
Must-Watch Video