Skuad B23 negara memastikan slot ke separuh akhir Kejohanan AFF B23 susulan kejayaan mengatasi Timor Leste 3-1 di Stadium Rayong, Thailand, sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar apabila mereka mengatasi Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu sekaligus menyaksikan skuad bimbingan E. Elavarasan mara selaku juara Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.
Mereka bakal berdepan tugasan menggunung dalam usaha untuk memastikan kemaraan ke pentas final apabila bakal membuat penghitungan dengan juara Kumpulan C yang juga juara bertahan, Vietnam.
Dalam aksi yang berlangsung sebentar tadi, skuad negara bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Alif Ikmalrizal Anuar seawal minit kelima sebelum Aliff Izwan Yuslan meledak gol kedua, lapan minit kemudian.
Kegagalan benteng pertahanan Harimau Malaya B23 kekal fokus membolehkan Timor Leste merapatkan kedudukan pada minit ke-41 hasil jaringan Olagar Xavier.
Alif Ikmalrizal bagaimanapun mengesahkan kemenangan buat skuad negara apabila meledak gol ketiga Harimau Malaya B23 dan yang kedua peribadinya bagi perlawanan tersebut pada minit ke-64.
Ammar Hakim
Tue Aug 22 2023