Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFF B-18: Fahmi Daniel mahu balas kepercayaan Maloney

fahmi-daniel-mohd-zaaim.jpg
Pemain tengah skuad B-18 negara, Fahmi Daniel Mohd Zaaim, enggan mensia-siakan kepercayaan ketua jurulatih, Brad Maloney, selepas mendapat panggilan pertama untuk menggalas cabaran negara dalam Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bermula esok. 

Selepas kejayaan merebut tempat dalam senarai 23 pemain terbaik, pemain itu bertekad untuk menggandakan usahanya demi mempersembahkan aksi terbaik bagi memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama.

Meskipun baru kali pertama menyertai skuad kebangsaan, pemain berusia 17 tahun itu tidak tertekan dan mahu memberikan tumpuan terhadap prestasinya.

"Ini kali pertama saya mendapat panggilan (skuad kebangsaan), jadi untuk menunjukkan kebolehan saya, saya akan melakukan sehabis baik dalam kejohanan ini.

"Saya mahu membantu Malaysia mengekalkan kejuaraan untuk tahun ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mengakui tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian bersama rakan sepasukannya.

Skuad kendalian Maloney itu akan membuka tirai saingan peringkat Kumpulan B dengan berdepan tuan rumah, Vietnam, Rabu ini. 

"Walaupun nama negara itu (Vietnam) besar dalam bola sepak, itu bukan halangan untuk Malaysia menjuarai kejohanan ini.

"Saya dan rakan-rakan yakin kerana kami sudah membuat persiapan yang cukup.

"Jadi, saya yakin kami boleh menjuarai kejohanan ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video