Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFF B-15: Malaysia hampiri separuh akhir

u15.jpg
Malaysia berpeluang cerah untuk ke separuh akhir Kejohanan AFF B-15 selepas mengejutkan Australia 3-0 dalam saingan Kumpulan B di Chonburi, Thailand hari ini.

Kemenangan terhadap bekas juara dua kali itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan untuk mengungguli carta kumpulan dengan sembilan mata.

Dalam perlawanan di Stadium Pendidikan Jasmani itu, Malaysia mencalarkan rekod bersih Australia apabila Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar menjaringkan gol pertama seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti sebelum Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin menghasilkan gol kedua pada minit ke-28.

Dalam babak kedua, Muhammad Izrin Ibrahim memperkukuhkan kedudukan Malaysia selepas melakukan jaringan pada minit ke-70, sekali gus mengutip mata penuh.

Australia sebelum ini menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos manakala Malaysia membelasah Brunei 8-0 dan menang 2-0 ke atas Kemboja.

Malaysia akan menentang Laos, Sabtu ini sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Thailand, Isnin ini.

“Kami berhak untuk memenangi perlawanan ke atas Australia memandangkan keazaman dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain yang sentiasa memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa kami mencipta peluang baik untuk melakukan jaringan dan kesemua barisan kejurulatihan pasukan amat bangga dengan pemain,” kata ketua jurulatih, P. Maniam.

Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia dalam final menerusi kemenangan penentuan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video