Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFC B-23: Iraq turun tanpa dua pemain utama

kimswee9118.jpg
Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, menganggap kekuatan Iraq tidak terjejas meskipun juara 2013 itu kehilangan dua tonggak utama, Ayman Hussein Ghadhban Al-Mafraje dan Ahmed Mohsin Jaber Al-Attabi, kerana digantung perlawanan.

Malaysia, yang beraksi buat kali pertama dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-23, akan memulakan cabaran esok menentang Iraq yang juga juara edisi pertama pada 2013 dan pemenang tempat ketiga edisi 2016.

Berdasarkan reputasi hebat lawan itu, ternyata ranjau berliku menanti anak buah Kim Swee dalam usaha membuat kejutan selaku pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan C.

Namun, ia tampak melegakan buat kem skuad muda negara apabila Iraq kehilangan Ayman yang merupakan penjaring terbanyak pasukan negara teluk itu ketika aksi kelayakan tahun lalu dan Mohsin selaku perancang tengah.
 
"Tiada banyak perbezaan tanpa dua pemain utama mereka. Saya percaya Iraq mempunyai ramai pemain berkualiti.

"Walaupun tanpa dua pemain itu, saya juga percaya mereka mampu memberi tentangan pada masa kita tahu Iraq mempunyai sejarah yang cukup baik dalam Kejohanan AFC," kata Kim Swee.

Ayman menjalani penggantungan dua perlawanan susulan layangan kad merah ketika aksi terakhir kelayakan menentang Arab Saudi, Julai lalu, manakala Mohsin digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning.

Situasi itu, bagaimanapun, tidak mengundang rasa cemas jurulatihnya, Abdul Ghani Shahad.

"Kami mempunyai skuad seimbang di mana semua pemain mempunyai kelebihan masing-masing.

"Jadi, saya yakin semua pemain mampu menggalas tugas dengan baik jika diberi peluang beraksi," ujar jurulatih itu.
 

Advertisement

Must Watch Video