Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFC B-19: Skuad bimbingan Hodak atur aksi antarabangsa

bojan-hodak.jpg
Tiga aksi persahabatan di Muscat, Oman, menjadi penilaian terakhir buat pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, ketika dia sudah mempunyai bayangan sebahagian pemain yang akan menggalas tanggungjawab dalam Kejohanan AFC B-19, Oktober ini.

Daripada senarai 26 pemain, tiada kelibat beberapa pemain utama seperti Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hadi Fayyadh Abd Razak yang sedang mengibar cabaran dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang. 

Namun, mereka bertiga sudah berada di dalam perancangan Hodak dan tiada istilah mereka digugurkan.

Menurutnya, dia hanya mempertimbangkan beberapa kekosongan lagi dengan dua pemain, Syafik Ismail dari pasukan Piala Belia Terengganu dan Mior Dani Armin (PKNS FC) menjadi panggilan terbaru untuk mengisi posisi sayap.

"Saya memanggil lebih ramai pemain skuad Piala Presiden dan Belia dengan mereka akan diberikan pendedahan menerusi beberapa aksi persahabatan yang sukar.

"Apabila mereka menentang pasukan yang lebih baik, maka mereka akan meningkat. 

"Terutama dua muka baru (Shafik dan Mior Dani) yang dibawa masuk, mereka akan diuji dalam perlawanan antarabangsa," kata jurulatih dari Croatia itu. 

Selepas pulang dari Oman pada 10 September, Hodak sudah merancang beberapa perlawanan persahabatan membabitkan beberapa pasukan B-19, termasuk dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia berharap dapat mengumpulkan semua pemain utama beraksi bersama dalam aksi persahabatan terakhir sebelum berlepas ke Indonesia. 

"Latihan pusat pertama akan diadakan pada 15 September dan perlawanan ujian akan berlangsung pada awal Oktober menentang Qatar selain akan ada beberapa perlawanan pemanas badan lagi, termasuk dengan UAE, sebelum berlepas ke Indonesia.

"Saya harap kami dapat melakar kejutan," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video