Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFC B-19: Shivan tangguh pengajian

shivan-pillay-asokan.jpg
Demi sebuah perjuangan dan impian, pertahanan skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, saggup menangguhkan pengajiannya di kolej yang sepatutnya bermula bulan ini bagi memberi fokus kepada Kejohanan AFC, bulan depan.

Tidak rela namanya tercicir, Shivan mengaggap ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup bagi memburu tempat beraksi di pentas Piala Dunia B-20 tahun depan.

Dia sepatutnya memulakan pengajian dalam bidang sains sukan bulan ini tetapi berkorban apabila memilih kemasukan pada Januari tahun depan demi memberi fokus bersama pasukan negara.

"Saya sepatutnya memulakan pengajian bulan ini tetapi menangguhkannya. 

"Saya berkorban demi memberi fokus 100 peratus kepada Kejohanan AFC B-19.

"Kami mahu ke pentas Piala Dunia B-20, itu impian kami," katanya. 

Walaupun memilih melanjutkan pelajaran, Shivan tetap mahu meneruskan impian sebagai pemain bola sepak bersama PKNS FC.

Menurut Shivan, majikannya, PKNS, tiada  masalah untuk memberinya pelepasan asalkan mampu memberi keseimbangan kepada pelajaran dan karier.

"Saya sudah memaklumkan kepada jurulatih dan harap-harap ia berjalan lancar.

"Saya perlu mengimbangi karier dan pelajaran kerana saya mahu berjaya dalam kedua-duanya," tambahnya. 

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan D bersama China, Arab Saudi dan Tajikistan perlu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir jika berhasrat beraksi dalam Piala Dunia B-20 di Poland.
 

Advertisement

Must Watch Video