Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFC B-19: Akhyar ambil serius aspek pemulihan

akhyar-rashid.jpg
Tonggak utama skuad B-19 negara, Akhyar Rashid, kini lebih berdisiplin dalam menitikberatkan proses pemulihan apabila begitu mengharapkan kesembuhan segera akibat kecederaan sehingga terpaksa diketepikan daripada menjalani kem latihan di Muscat, Oman, minggu depan.

Akhyar mengalami kecederaan di pangkal paha dan masih memerlukan rawatan susulan sehingga mendorong pengendali, Bojan Hodak, mengambil keputusan untuk tidak membawanya ke Oman bagi menjalani kem latihan selama 10 hari.

Melihat keadaan itu, pemain Kedah itu perlu lebih serius dalam menjalani proses pemulihan kerana misi utamanya adalah untuk kembali cergas bagi menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Jakarta, Indonesia, bermula 18 Oktober depan.

Bahkan, Akhyar tetap percaya kecederaan yang dialami masih tidak menjejaskan peluangnya untuk kekal dalam kesebelasan utama selepas pulih sepenuhnya nanti.

"Saya sedang menjalani pemulihan kecederaan. 

"Saya semakin pulih dan boleh banyak berlari dan menyepak bola," katanya. 

Melihat kepada situasi yang menimpa skuad B-16 tempoh hari, Akhyar percaya pasukannya tetap mampu melakar kejutan di Jakarta untuk sekurang-kurangnya menutup duka kegagalan skuad kendalian Lim Teong Kim ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun hadapan. 

"Skuad ini mempamerkan keserasian dan Insya-Allah pasukan ini berpeluang untuk pergi jauh," katanya. 

Skuad B-19 negara bakal memulakan cabaran Kejohanan AFC bertemu Arab Saudi pada 20 Oktober, sementara aksi dengan Tajikistan menyusul tiga hari kemudian sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang China pada 26 Oktober.

Advertisement

Must Watch Video