BOLA SEPAK
Kejayaan Chile terletak pada persiapan Bravo -- Pizzi
Ketua jurulatih Chile, Antonio Pizzi, berkata persiapan sepakan penalti oleh Claudio Bravo menjadi punca pasukannya berjaya menewaskan Portugal dalam separuh akhir Piala Konfederasi, awal pagi tadi.
Bravo menyelamatkan kesemua tiga sepakan Portugal untuk membawa Chile ke final selepas perlawanan terikat seri tanpa jaringan.
Arturo Vidal, Charles Aranguiz dan Alexis Sanchez berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing, namun Bravo mendapat pujian istimewa daripada Pizzi.
Iklan
"Kami bernasib baik, Bravo bertindak cemerlang ketika penentuan sepakan penalti. Kami layak mara ke final," kata Pizzi sebaik tamat perlawanan.
"Tiada sesiapapun yang mahu berada dalam situasi sedemikian. Kamu tidak akan tahu apa yang bakal berlaku. Tetapi apabila Bravo berjaya menyelamatkan gawang buat kali pertama dan Arturo menyempurnakan sepakannya, kami berasa sedikit lega.
"Claudio telah menganalisis sepakan pihak lawan. Dia melakukan persiapan yang baik, kerana itulah kami berjaya menang.
"Kami mengambil kira ada kemungkinan berlakunya penentuan sepakan penalti. Sepakan penalti ketika sesi latihan dan ketika sedang bertanding adalah dua perkara yang berbeza.
"Kami tidak menerapkan sebarang strategi yang khusus, sebaliknya cuba mengekalkan corak yang sama sepertimana yang kami lakukan ketika menjuarai Copa America.
"Saya bangga dengan pasukan ini dan setiap pemain berbesar hati kerana dapat mewakili Chile.
"Saya berharap kami akan terus bekerja keras dan memastikan bola sepak Chile meraih kejayaan."
La Roja hampir membuka tirai jaringan dalam babak kedua masa kecederaan apabila percubaan Vidal dan Martin Rodriguez sekadar menggegar tiang gol.
"Kami sepatutnya meledak gol pada minit ke-120 tetapi kami terpaksa menanti sehingga penentuan sepakan penalti," tambah Pizzi.
Must-Watch Video