BOLA SEPAK
Keizer tidak pasti Fernandes kekal atau pergi
Pengendali Sporting Lisbon, Marcel Keizer, tidak pasti sama ada bintang tengah, Bruno Fernandes, akan kekal bersama kelab itu selepas dikaitkan dengan Manchester United.
Fernandes dikatakan akan menyertai The Red Devils ketika jendela perpindahan musim panas ini dan perbincangan untuk membawanya ke Old Trafford semakin giat dijalankan tatkala Liga Perdana Inggeris semakin menghampiri sepak mula.
Kapten Sporting itu tampak menitiskan air mata selepas aksi persahabatan menentang Valencia di Lisbon yang berakhir dengan kekalahan 2-1 semalam hingga menimbulkan spekulasi perpindahannya semakin hampir.
Iklan
Ditanya mengenai Fernandes -- yang diletakkan dalam kesebelasan utama -- Keizer memberitahu wartawan: "Lihat nanti jika kami dapat kekalkan pemain dan apa yang perlu dilakukan.
"Saya harap dia kekal, sudah tentu sama seperti pemain lain tetapi kami tidak tahu."
Fernandes menjaringkan 20 gol -- 31 dalam semua kejohanan -- dan mencipta 13 bantuan jaringan dalam Liga Primera musim lalu tatkala Sporting menamatkan saingan di tangga ketiga.
Dan rakan sepasukannya di Sporting, Luciano Vietto, berharap pemain Portugal berusia 24 tahun itu tidak akan meninggalkan pasukan.
"Dia merupakan pemain paling penting dalam pasukan, saya harap dia meneruskannya," ujar pemain yang menyertai Sporting daripada Atletico Madrid bulan lalu itu.
Must-Watch Video