Skip to main content

Bola Sepak

Kedegilan KLFA akan makan diri -- Stuart

stuart-ramalingam.jpg
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, bimbang dengan kedegilan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang akan memakan diri mereka sendiri.

Isu mesyuarat luar biasa (EGM) yang dituntut oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) bukan hal baru buat KLFA, malah isu berkenaan sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang penyelesaian terhadap isu itu dan FAM menganggapnya sebagai satu tindakan yang degil daripada KLFA.

Bagi Stuart, jika KLFA terus berlengah, ia akan menjadikan isu berkenaan semakin parah.

"Dalam isu ini, ia tidak akan menguntungkan KLFA, FAM mahupun PJS.

"Namun, yang akan menjadi mangsa adalah bola sepak dan pasukan Kuala Lumpur.

"Saya rasa, jika kita mengutamakan bola sepak, kita perlu meletakkan kepentingannya terlebih dahulu dan melakukan perkara yang sepatutnya," katanya.

Stuart menganggap hal yang cuba dibangkitkan KLFA mengenai Artikel 64 perenggan bidang kuasa persatuan itu hanya bertujuan untuk melengah-lengahkan keadaan.

Malah, desakan PJS itu hanya dipandang mudah walaupun badan induk itu memiliki kuasa penuh untuk menentukan status dan masa depan KLFA.

"FAM dan KLFA adalah badan bola sepak.

"Secara teorinya, badan bola sepak tidak memerlukan campur tangan daripada pihak lain.
 
"Tetapi dalam bidang pembangungan sukan di Malaysia, kuasa PJS itu amat jelas," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video