Skip to main content

Bola Sepak

Kedah tujukan kemenangan kepada Cheng Hoe

nay1.jpg
Kemenangan bergaya Kedah 3-0 ke atas Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, malam tadi, ditujukan kepada bekas pengendalinya, Tan Cheng Hoe.

Ternyata pemangku ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, enggan mengambil kredit atas kejayaan mara ke final, sebaliknya menekankan peranan dimainkan Cheng Hoe, yang kini bersama skuad kebangsaan.

“Cheng Hoe telah menerapkan keakraban pemain-pemain di dalam dan luar padang, malah mereka sangat faham corak permainan masing-masing. Itu yang menjadi kunci pasukan ini.

“Cara-cara untuk bertahan, penguasaan bola dan gerakan serangan, semuanya dibentuk Cheng Hoe, saya hanya menyambung tugasnya,” ujar Nidzam.

Membawa bekalan satu gol daripada pusingan pertama, 30 April lalu, Kedah berada dalam kelas tersendiri untuk menyingkirkan tuan rumah melalui tiga jaringan awang import, Liridon Krasniqi (m-4), Ken Ilso Larsen (m-28) dan Sandro da Silva (m-47).

Menurut Nidzam lagi, percaturannya merehatkan beberapa tonggak ketika aksi Liga Super bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selasa lalu, turut membuahkan hasil.

“Tahniah buat pasukan ini kerana memberikan sepenuh komitmen dan tiga gol ini sesuatu yang tidak dijangka. Pemain-pemain yang diturunkan mempamerkan aksi yang baik.

“Kami sudah menjangkakan Terengganu akan bermain dengan hantaran-hantaran tinggi, ternyata barisan pertahanan sangat berdisiplin dan sentiasa bersedia,” tambahnya lagi.

Menang dengan agregat 4-0, skuad Lang Merah akan berdepan satu lagi pasukan Liga Super, Pahang, dalam aksi final, 20 Mei ini.

Advertisement

Must Watch Video