Skip to main content

Bola Sepak

Kedah perlu lupakan kedukaan

mascup.jpg
Kedah perlu melupakan kekalahan kepada Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan malam tadi dan fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu PKNS FC jika mahu terus beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Perkara itu disuarakan pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, selepas menyaksikan anak buahnya tewas 0-2 kepada TFC dalam aksi Kumpulan A di Stadium Darulaman itu. 

Menurutnya, pemainnya telah menunjukkan persembahan yang baik dengan mencipta banyak peluang, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila kesemua percubaan gagal disempurnakan.

“Sebenarnya, kami mendapat banyak peluang, terutama dalam separuh masa kedua, tetapi itulah bola sepak. Pertama kali kami kalah di Stadium Darulaman sedangkan lebih 10 peluang kami dapat tetapi satu pun tidak masuk gol.

“Apa pun, nasib tidak menyebelahi kami walaupun pemain telah memberikan 100 peratus tumpuan dalam perlawanan ini,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi tersebut, dua gol jaringan pemain import TFC, Tchetche Kipre, pada minit ke-66 dan 85 menghampakan pasukan tuan rumah.

Ditanya sekiranya kekalahan itu disebabkan oleh faktor keletihan, Aidil Sharin menyangkal perkara itu dan menjelaskan juara Piala FA itu berada dalam momentum terbaik.

“Pemain sudah buat segalanya, saya tidak tahu apakah faktornya yang menyebabkan kami kalah, namun kami akan membuat penilaian dan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain, berkata kemenangan pasukannya ke atas Kedah di tempat lawan sememangnya sukar dilakukan, terutama apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam babak kedua.

Katanya, pemain menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi dalam perlawanan itu yang akhirnya menyebabkan tuah memihak kepada mereka.

“Kemenangan ini memberi suntikan semangat dan moral kepada pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang, saya bangga dengan semua pemain,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video