Skip to main content

Bola Sepak

Kedah lega bawa pulang bekalan selesa

akram-pkns-kedah.jpg
Kedah sudah sebelah kaki untuk mara selepas membenam PKNS FC 3-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, malam tadi. 

Kedah bertandang ke Stadium Shah Alam dengan hasrat mencari bekalan selesa menjelang aksi kedua di Stadium Darulaman, 10 Mei ini. 

Usaha mereka berhasil sejak minit ke-12 apabila Fernando Rodriguez membuat sepakan voli yang meletakkan Kedah 1-0 di depan. 

Kedah terus bernafsu untuk menambah gol dan kali ini Lang Merah mendapat peluang apabila dihadiahkan sepakan penalti untuk Jonathan Bauman tenang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26.

Derita PKNS terus bertambah setelah pertahanan, Tamirlan Kozubaev, dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Kesempatan beraksi menentang 10 pemain Semut Merah digunakan sebaik-baiknya skuad Kedah apabila Bauman sekali lagi meledak dengan menyempurnakan hantaran lintang ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, untuk menutup babak pertama 3-0.

Bagaimanapun, ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal terus berusaha meyakinkan anak-anak buahnya agar memberikan tentangan yang membawa kepada ledakan Gabriel Guerra untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-64, namun ia masih belum cukup untuk menghalang kedah melakar kemenangan selesa.

"Selepas bertemu Selangor dalam tempoh tiga hari dan perlu datang ke mari, bermain di padang yang luas dan bertemu pasukan handalan seperti PKNS, ia bukan mudah tetapi Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya malam ini," jelas jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. 

Sementara itu, Rajagobal, mempunyai sebab untuk tetap memuji usaha anak buahnya dengan berkata: "Pemain saya berjuang tinggi dalam separuh masa kedua di sebalik kekurangan seorang pemain. 

"Itu isyarat yang cukup positif meskipun saya sedar kami tewas dalam perlawanan ini."

 

Advertisement

Must Watch Video