Badan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tidak menafikan keperluan Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City untuk terus berada dalam saingan Liga Super 2024-25.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam, berkata usaha Kedah dan KL City ketika ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.
MFL memberikan peluang untuk kedua-dua pasukan itu menyelesaikan separuh daripada jumlah keseluruhan sebelum atau pada 15 Mac ini dan menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji sebelum atau pada 29 Mac ini.
"Kita kena faham daripada segi pesalah kali pertama iaitu Kedah," kata stuart kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Mereka mungkin berada dalam situasi yang mereka tidak inginkan tetapi harap-harap mereka dapat menyelesaikannya.
"Saya bercakap dengan CEO mereka hampir setiap hari dan mereka amat berusaha untuk menyelesaikan perkara ini.
"Saya fikir daripada kiriman yang dilakukan Kedah juga dapat dilihat pergerakan itu sudah ada, KL City juga sudah menampakkan pergerakannya.
"Kita mengharapkan sesuatu yang positif daripada kedua-dua kelab ini kerana kedudukan mereka amat penting dalam Liga Malaysia.
"Kami harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin dan isu tunggakan gaji ini dapat diselesaikan sebelum bermula liga tahun ini," katanya.
Muzaffar Musa
Thu Mar 07 2024