Skip to main content

Bola Sepak

Kedah ambil iktibar kebangkitan dalam UCL

aidil-sharin.jpg
Kedah akan menjadikan kejutan dan kebangkitan dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebagai iktibar dalam memastikan mereka tidak mensia-siakan kelebihan di laman sendiri menjelang suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, malam esok.

Kedah meraih kelebihan tiga gol di laman lawan selepas menewaskan PKNS FC 3-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Situasi Ajax dan Barcelona, yang memegang kelebihan dalam separuh akhir pertama UCL membuatkan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak mahu pasukannya berdepan risiko kebangkitan PKNS FC, seperti mana yang dilakar Liverpool dan Tottenham Hotspur dalam kejohanan kelab elit Eropah itu.

"Ia merupakan pengajaran yang perlu dijadikan iktibar.

"Bola sepak sentiasa tentang pembelajaran dan pasukan seperti Barcelona dan Ajax juga boleh ditewaskan.

"Walaupun mereka memperoleh kelebihan selesa dalam aksi pertama, namun inilah bola sepak.

"Kami tidak boleh fikir kelebihan yang kami peroleh dalam perlawanan pertama akan memastikan kemaraan kami kerana ia sememangnya tidak.

"Ia pasti bukan perlawanan yang mudah kerana PKNS merupakan pasukan yang baik dengan jurulatih yang baik.

"UCL merupakan pengajaran terbaik kami, jadi kami tidak akan mengambil mudah perlawanan ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video