Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kecederaan Salah tidak serius, kata Klopp

salah.jpg
NEWCASTLE UNITED 2 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp menjelaskan Mohamed Salah "tidak apa-apa" selepas diusung keluar ketika Liverpool menewaskan Newcastle United 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di St. James' Park, awal pagi tadi, namun berkata penyerang itu memerlukan pemeriksaan lanjut.


Salah tidak dapat meneruskan perlawanan selepas bertembung dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka, yang bertindak melanggar penyerang kebangsaan Mesir itu dengan pinggulnya ketika cuba mengeluarkan bola tinggi pada 20 minit terakhir perlawanan.

Dengan pertembungan Liverpool dan Barcelona dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah hanya berbaki tiga hari lagi, juga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, lima hari selepas itu, Klopp tidak boleh kehilangan penjaring terbanyak pasukannya itu.

Bagaimanapun, dia memberikan perkembangan postitif mengenai pemeriksaan awal pemain berusia 26 tahun itu dengan memberitahu Sky Sports: "Kami perlu menunggu, dia mengalami hentakan yang kuat di kepalanya.

"Dia menyaksikan perlawanan itu dan dia tidak apa-apa.

"Sudah pasti kami perlu menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Perlawanan awal pagi tadi terikat 2-2 ketika Salah digantikan dengan Divock Origi, yang menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada empat minit terakhir perlawanan bagi menggembirakan pengurus pasukannya itu.

Klopp tidak menyenaraikan Roberto Firmino dalam aksi di St. James' Park itu dengan meletakkan Daniel Sturridge, Sadio Mane dan Salah dalam kesebelasan utama memandangkan pemain kebangsaan Brazil itu sedang menjalani pemulihan kecederaan kelangkang.

Selepas tewas 0-3 di Campo Nou, tiga hari sebelum bertandang ke Tyneside, Klopp menjelaskan tentang jadual penghujung musim terlalu memenatkan buat pasukannya, yang kini kemballi ke puncak Liga Perdana.

"Dalam tiga perlawanan terakhir, kami berdepan tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.

"Wah, ia amat-amat sukar.

"Kami bukanlah pasukan bola sepak terbaik dunia.

"Kami berusaha keras untuk memastikan kejayaan kami.

"Ia bukanlah seperti kami menghadapi perlawanan yang mudah.

"Kami perlu bekerja keras setiap minggu.

"Pemain saya melakukannya seperti mana yang mereka perlu lakukan.

"Saya tidak lihat sesiapa berasa gemuruh.

"Kami sedar kami perlu mencubanya.

"Ia perlawanan sukar untuk berdepan lawan yang secara fizikalnya lebih kuat berbanding kami hari ini.

"Kami perlu berjuang. Pemain sudah melakukan segala-galanya.

"Saya dapat melihatnya setiap hari. Mereka amat jujur," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video