Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kecederaan punca Kedah gagal menyerlah

kedah-darul-aman.jpg
Masalah kecederaan dan ketiadaan tonggak utama termasuk beberapa pemain import menjadi punca Kedah Darul Aman (KDA) FC tewas 1-3 kepada Terengganu FC pada aksi akhir Liga Super 2022, malam tadi. 

Dengan kekalahan kelima berturut-turut dan terbaru di laman sendiri, ia jelas memberikan kekecewaan kepada pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, yang pada awalnya berazam untuk bangkit tetapi gagal menyediakan kesebelasan terbaik.

"Kami menyenaraikan Ronald Ngah Wanja pada awalnya, namun dia tidak dapat beraksi dan ini memaksa kami meletakkan Mahmoud Al-Mardi di posisi serangan sedangkan bukan seorang penyerang utama selepas kehilangan Syafiq Ahmad. Kami sudah tiada pilihan terbaik untuk posisi penyerang.




"Kami juga kehilangan pertahanan import, Marc Vales, yang cedera sekali gus turut memberikan kesan di bahagian benteng KDA FC," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman. 

Jelasnya, ketiadaan pemain-pemain senior tempatan yang berkaliber dalam skuad Kenari pada musim ini terutama untuk memimpin ramai pemain muda juga sangat memberikan kesan.

"Kami juga tidak ada pemain senior yang boleh memimpin seperti musim lalu yang memiliki Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Renan Alves apabila ketinggalan gol kepada lawan, kami masih mampu bangkit dengan keyakinan tetapi tidak pada musim ini kerana semangat juang yang ditunjukkan tidak cukup.





"Namun, pada musim ini, Syazwan Zainon sebagai ketua pasukan berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan itu," ujar pengendali kelahiran Singapura itu.

Tambahnya, masalah kecederaan yang sering menimpa pemain import KDA FC juga menyaksikannya gagal menurunkan kelima-limanya serentak pada aksi Liga Super musim ini.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video