Skip to main content

Bola Sepak

Kecederaan Andrieiev tidak jejas TFC II

tfc-2.jpg
Kecederaan buku lali yang dialami Serhii Andrieiev tidak akan melonggarkan benteng Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana bertemu Pulau Pinang di Kuala Terengganu, esok.

Menurut jurulatihnya, Tengku Hazman Raja Hassan, dia sudah memiliki 'Pelan B' dengan menurunkan pemain berpengalaman, Mohd Hasbullah Awang, dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 36 tahun itu akan mengetuai benteng tuan rumah bagi mengekang jentera serangan Pulau Pinang yang diketuai Casagrande dan Sergio Aguero.

Tengku Hazman turut menjangkakan tentangan sengit daripada Pulau Pinang, yang masih dalam perebutan slot ke Liga Super, di kedudukan kelima.

"Saya tahu kekuatan Pulau Pinang yang belum tewas sejak penghujung April lalu, namun kami punyai taktikal tersendiri untuk mengimbangi permainan," katanya.

Sementara itu, pengendali itu tidak mahu meletakkan beban kepada penjaring terbanyak TFC II, Bruno Suzuki, yang meledak hatrik ketika menewaskan UKM FC, minggu lalu.

Sebaliknya, bekas kapten skuad negara itu mahu semua pemain bertanggungjawab menggalas tugas selaku penjaring dan tidak melepaskan peluang terhidang.

"Sebelum ini, ketumpulan penyudah boleh dikatakan satu 'wabak' berbahaya kepada TFC II.

"Kelemahan itu semakin pulih dan saya yakin jika pasukan kekalkan momentum, kami boleh dapat keputusan positif," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)
 

Advertisement

Must Watch Video