Skip to main content

Bola Sepak

Kebangkitan ini lambang keupayaan Manchester City, kata Guardiola

manchester-city.jpg
NEWCASTLE UNITED 3 MANCHESTER CITY 3 

Pep Guardiola percaya Manchester City telah membuktikan kemampuan mereka apabila memulihkan defisit dua gol ketika seri 3-3 dengan Newcastle United.


Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kelihatan bakal menempa kekalahan pertama dalam musim baru selepas jaringan pembukaan Ilkay Gundogan dibatalkan oleh gol Miguel Almiron, Callum Wilson dan Kieran Trippier di St James' Park, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, jaringan pantas daripada Erling Haaland dan Bernardo Silva menyaksikan pelawat meningkatkan asakan mereka demi meraih kemenangan dalam salah satu pertemuan paling menarik setakat ini.

Gambaran prestasi hebat City yang memenangi gelaran musim lalu pada hari terakhir dengan membenam Aston Villa kembali menjelma di Tyneside selepas anak buah Guardiola itu perlu mengerah kudrat untuk mengutip satu mata.

 
Usaha gigih itu menggembirakan pengurus Sepanyol tersebut yang kagum dengan kedua-dua perlawanan setakat ini selain keputusan akhir permainan ini sambil memuji kepada keazaman pasukannya.

“Pasukan ini telah menunjukkan siapakah kami,” katanya kepada BBC Sport. 

"Ia adalah satu perlawanan bola sepak yang bagus. Kami bermula dengan sangat baik kemudian kami tewas dalam beberapa perebutan bola. Sebaik permainan menjadi terbuka, mereka lebih menyerlah.

"Kami sepatutnya lebih tenang mengatur gerakan di posisi sepertiga akhir. Tetapi suasana selepas perlawanan ini membawa erti dalam bola sepak."

Walaupun membuat permulaan tanpa kalah, Newcastle dilihat masih merupakan sebuah pasukan dalam pembentukan apabila gawang mereka dirobek seawal minit kelima menerusi penyudah Gundogan. 

Tetapi skuad Magpies kendalian Eddie Howe itu terbukti bukan pencabar remeh dalam liga utama musim ini, justeru Guardiola melemparkan pujian terhadap seteru domestik berkenaan sambil memikirkan tentang saingan EPL yang makin sengit.

“Kami mungkin tidak memperoleh kemenangan pada hari ini,” katanya kepada Sky Sports. 

"Newcastle pastinya merupakan salah satu lawan yang paling sukar. Dapat melihat pasukan berjuang hingga saat-saat akhir sudah memadai.

"Leeds juga menewaskan Chelsea hari ini. EPL merupakan saingan yang sangat sukar buat semua kelab. Ia menunjukkan betapa hebatnya kami selama lima tahun ini dan betapa sukarnya ia untuk dicapai."

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video