Skip to main content

Bola Sepak

Kane: Tottenham mampu julang EPL

kane.jpg
Harry Kane percaya Tottenham mampu melangkah jauh sepanjang musim ini dan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memperkasakan skuad mereka dalam jendela perpindahan.

Finalis Liga Juara-Juara (UCL) itu membuka kempen liga dengan kemenangan 3-1 ke atas pendatang baru, Aston Villa, di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi semalam. 

Tottenham, yang meraih tangga keempat musim lalu, mendekatkan diri untuk menakluki EPL di bawah kendalian Mauricio Pochettino selepas menamatkan musim 2016-17 di tangga kedua sementara meraih kedudukan ketiga pada musim 2016 dan 2018.

Namun, skuad yang berpangkalan di London itu menambah baik skuad mereka selepas dua jendela perpindahan tanpa menandatangani sebarang pemain -- memancing Tanguy Ndombele, yang menyumbat gol ke atas Villa, dengan yuran termahal kelab selain menandatangi Giovani Lo Celso dan Ryan Sessegnon.

Justeru, penggempur Spurs itu yakin Tottenham boleh mencabar Manchester City dan Liverpool selepas bangkit untuk menang di Villa.

"Kami terus memberi saingan sengit kepada mereka (City dan Liverpool ) musim lalu tetapi rentak kami terjejas selepas Januari," kata tonggak England itu. 

"Kali ini, kami perlu memastikan bahawa kami bermula dengan baik. Liverpool menetapkan penanda aras (awal pagi Sabtu lalu). disusuli City. Jadi, adalah penting buat kami untuk terus memberi saingan yang sama selagi boleh. 

"Kami memiliki kepercayaan tinggi bahawa kami boleh memberi cabaran sepanjang musim ini tetapi laluannya masih panjang. Itulah sebabnya kami membeli pemain: untuk memantapkan skuad dan meningkatkan saingan untuk merebut tempat utama."

Tambahnya: "Kami mempunyai skuad yang baik dan dahagakan kejayaan. Semua orang sudah bersedia untuk memberikan cabaran.

"Pemain-pemain baru yang tiba harus cuba memberi impak dan mereka melakukannya. Adalah penting untuk kami mengharungi musim yang baik.

"Sudah tentu, ia baru bermula tetapi sebaik musim sejuk tiba dan banyak perlawanan perlu ditempuhi, kami memerlukan semua orang untuk menyumbang sebanyak mungkin.

"Saya fikir ia pasti akan membantu ketika kami mula berdepan aksi pertengahan minggu. Saya belum berkesempatan untuk berlatih dengan Ryan dan Gio tetapi saya pasti ia akan berlaku minggu depan, jadi saya pasti mereka juga akan membuat impak besar. Semua orang di sini cuba bergerak ke arah yang tepat dan itulah yang kami cuba lakukan. "

Tottenham ketinggalan 0-1 kepada Villa dalam separuh masa pertama tetapi Christian Eriksen -- yang dikaitkan dengan perpindahan -- bangkit dari bangku simpanan untuk memberikan inspirasi kemenangan kepada Spurs.

Eriksen dilaporkan menolak langkah ke Manchester United tatkala pemain antarabangsa Denmark itu cenderung untuk beralih angin ke LaLiga, di mana Real Madrid dan Atletico Madrid, dipercayai menaruh minat. 

Walaupun belum pasti tentang masa depan rakan sepasukannya itu, Kane menambah: "Sudah tentu saya sudah beraksi di samping Chris selama lima atau enam tahun dan kita semua tahu mengenai kemampuannya; membuat bantuan gol, hantaran tepat dan melakukan jaringan.

"Sama ada dia bermula atau berada di bangku, perkara yang paling penting daripada segala sudut pandangan kami, dia memberikan segala-galanya untuk pasukan.

"Sudah tentu, akan ada spekulasi mengenai masa depannya tetapi dia berlatih dengan gigih dan mempamerkan keupayaannya di sini, itu sahaja yang kami harapkan daripadanya. Kami gembira untuk memilikinya.

"Itu jugalah yang ditagih peminat: iaitu komitmen. Kami gembira kerana mereka akan menyaksikan apa yang berlaku tetapi daripada sudut pandangan kami, kami mempunyai skuad yang mantap dan kami akan menggunakannya sepanjang musim ini."

 

Advertisement

Must Watch Video