Skip to main content

Bola Sepak

Kane, England sedia kejar impian

england.jpg
Harry Kane berkata dia dan pasukan England bersedia untuk terus mengejar impian menjuarai Piala Dunia.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu membuat persiapan aksi suku akhir berdepan Sweden di Samara, malam ini, untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 28 tahun lalu.

Kane menemui sasaran ketika seri 1-1 dengan Colombia dalam pusingan 16 di Moscow -- jaringan keenamnya dalam tiga penampilan di Russia 2018.

Walaupun The Three Lions beraksi dalam masa tambahan selepas Yerry Mina menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan, England mara ke suku akhir menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti.

Kane berharap dia dan rakan sepasukan dapat meneruskan momentum itu dan mencipta kejayaan untuk England.

"Kami seperti sebuah keluarga. Kami banyak meluangkan masa bersama. Sebelum kejohanan bermula, kesatuan dalam pasukan serta kepercayaan adalah perkara utama buat England," katanya.

"Ketika beraksi di atas padang, kami mahu membuktikan kebolehan. Dalam perlawanan sebelum ini, riak wajah setiap pemain menampilkan kegembiraan hasil kerja keras yang telah ditampilkan untuk England.

"Selepas kami mengharungi persaingan itu, ia membuktikan kami mampu melakukannya lagi.

"Kami dahagakan kejayaan dan bersedia untuk mencipta kemenangan dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai sasaran kami."
 

Advertisement

Must Watch Video