Skip to main content

Bola Sepak

Kane bangga aksi istimewa Spurs benam Man City

kane.jpg
MAN CITY 2 SPURS 3 

Harry Kane memuji persembahan istimewa Tottenham selepas meledak gol dalam kemenangan mendebarkan 3-2 ketika bertandang ke Manchester City, awal pagi tadi, sebelum bercakap dengan penuh semangat mengenai gandingannya bersama Son Heung-min.


Selepas gol pembukaan Dejan Kulusevski dibatalkan oleh jaringan penyamakan Ikay Gundogan, Kane kembali memberi kelebihan pasukannya tetapi sekali lagi dipadamkan oleh sepakan penalti Riyad Mahrez pada minit ke-92.

Bagaimanapun, drama pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak berakhir di situ dan ketua pasukan England tersebut muncul wira menerusi dengan tandukannya pada minit ke-95. 

Kali terakhir City dibolosi pada masa kecederaan liga ialah sejak pemain Manchester United, Michael Owen, menewaskan mereka selepas 95 minit permainan pada September 2009.

Kane, yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Stadium Etihad musim panas lalu turut memuji rakan sepasukannya yang lain selepas memastikan Spurs mendekati kelompok empat teratas.

"Ia adalah sebuah perlawanan yang gila", katanya kepada Sky Sports.

"Kami bekerja keras untuk sekian lama. Sepakan penalti itu menyentap kami tetapi penghargaan kepada semua pemain kerana mencipta satu lagi peluang di penghujung permainan, mujur saya dapat melakukan sentuhan.





"Inilah EPL. Ia adalah satu perlawanan yang hebat untuk mereka yang berkecuali dan peminat kami. Kami akan pulang dengan gembira hari ini.

"Kami terpaksa mencari jalan untuk mengembalikan musim ini agar kami dapat meniti di landasan yang betul. Untuk meraih keputusan seperti ini adalah benar-benar istimewa."

Dengan Son mencipta gerakan untuk gol pertama Kane, gabungan mereka berdua telah menghasilkan 36 gol EPL bagi menyamai rekod Didier Drogba dan Frank Lampard sebagai gandingan paling dahsyat. Justeru, Kane berhasrat melemparkan pujian terhadap gandingan di bahagian serangannya itu.

“Kami berhubung dengan baik dan turut mempunyai pemahaman yang baik di luar padang.

"Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menonton rakamannya di bilik video esok."


 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video