Skip to main content

Bola Sepak

Kane akan tentukan masa depan di Spurs selepas Euro 2020

harrykane.jpg
Bintang Tottenham dan England, Harry Kane, berkata dia akan menentukan masa depannya selepas tamat Kejohanan Eropah.

Kane sedang hangat dikaitkan untuk menyertai seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan Manchester City, selain juara LaLiga, Real Madrid.

Penyerang berusia 27 tahun itu, yang tiba daripada pasukan remaja Tottenham pada 2009, masih mempunyai kontrak dengan Spurs sehingga 2024.

Tetapi  Kane enggan menjawab mengenai spekulasi masa depannya itu memandangkan dia sedang bersedia untuk membantu Spurs dalam final Piala EFL menentang City bulan depan dan membantu England meraih kejuaraan pertama sejak 1966 dalam Euro 2020.

"Saya fikir agak sukar untuk menjawab persoalan itu buat masa ini," kata Kane kepada Telegraph ketika ditanya mengenai desas-desus berkenaan masa depannya di Tottenham.

"Amat penting untuk seluruh fokus saya tertumpu kepada dua perlawanan England yang akan tiba dan baki musim bersama Spurs dan kemudian Euro.

"Saya sentiasa lebih gemar untuk menumpukan kepada satu tugasan dan satu sasaran dan ia merupakan penamat musim yang baik buat Spurs, menang dalam pusingan kelayakan ini bersama England dan harap-harap kami akan memperoleh kempen yang bagus dalam Euro.

"Lihat, saya mahu mengelak daripada spekulasi ini sebanyak mungkin.

"Saya amat fokus terhadap pekerjaan saya di atas padang dari hari ini sehingga penghujung musim panas depan dan kita akan melihatnya selepas itu," katanya.
 
Tottenham kendalian Jose Mourinho kini berada di tangga keenam EPL dengan ketinggalan tiga mata daripada kedudukan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan dan akan berdepan City dalam final Piala EFL pada 25 April ini.

England diletakkan dalam Kumpulan D bersama Croatia, Scotland dan Republik Czech dalam Euro 2020 Jun depan.

Kane telah menjaringkan 17 gol dalam EPL musim ini dan secara keseluruhan sebanyak 27 jaringan dalam kesemua kejohanan musim 2020-21.
 

Advertisement

Must Watch Video