Skip to main content

Bola Sepak

Kami sentiasa jangkakan sesuatu istimewa daripada Messi –- Valverde

messi.jpg
Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, mengagumi prestasi Lionel Messi musim ini sambil memuji pemain itu menjadikan penampilan "istimewa" seperti satu rutin.

Messi mencetuskan inspirasi buat Barca dengan menjaringkan 45 gol musim ini untuk menjulang kelab berkenaan di puncak LaLiga selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

33 daripada gol itu hadir dalam 29 perlawanan LaLiga, sementara 12 jaringannya dalam lapan perlawanan terakhir liga menyaksikan Barca mengekalkan prestasi ampuh mereka menjelang peringkat penting musim ini.

Messi juga mempamerkan aksi terbaik, Rabu lalu, ketika Barca menundukkan Manchester United 3-0 -- bintang Argentina berkenaan meledak dua gol -- untuk menempah pertemuan dengan Liverpool dalam separuh akhir. 

Prestasi mengagumkannya ketika berdepan barisan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu menjadi pentas buat Messi untuk menutup mulut pengkritiknya selepas mendapat tekanan hebat susulan pertemuan pertama yang menyaksikan Barca menang 1-0. Lantas, Valverde memberi penghormatan terhadap pemain itu. 

Bercakap sebelum kunjungan ke Real Sociedad, awal pagi esok, Valverde berkata: "Banyak yang boleh diperkatakan tetapi apa lagi yang boleh saya katakan mengenai Leo?

"Dia memadamkan semua rekod dan akan terus memecahkannya. Dia membuatkan orang ramai mengharapkan sesuatu yang istimewa daripadanya dan dia merealisasikannya. 

"Kami tahu mengenai kemampuannya, apa ertinya dia daripada sudut pandangan dunia dan kami menikmatinya."
 

Advertisement

Must Watch Video