Skip to main content

Bola Sepak

Kami memenangi liga paling mencabar -- Ramos

ramos-230517.jpg
Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos, memuji semangat juang Los Blancos dalam menamatkan penantian selama lima tahun untuk meraih gelaran LaLiga  yang dianggap liga terbaik di dunia.

Kemenangan 2-0 ke atas Malaga kelmarin memastikan Madrid tiga mata di atas pencabar terdekat, Barcelona, untuk dinobatkan sebagai juara LaLiga buat kali ke-33.

Pemain berusia 31 tahun itu memberi penghormatan kepada Barca di samping  Atletico Madrid dan Sevilla dalam memberi tekanan ke atas skuad kendalian Zinedine Zidane itu dengan berkata rakan sepasukannya mengambil kesempatan untuk menikmati kejayaan domestik sebelum mengalihkan perhatian mereka menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Juventus di Cardiff.

Pemain pertahanan itu berkata: "Kami berhak mendapat pujian tinggi kerana memenangi liga terbaik di dunia.

"Saya sudah lama berada di sini dan ia adalah liga yang sangat sukar untuk dimenangi.

"Bukan sahaja Barcelona tetapi Sevilla dan Atletico Madrid telah memberi tekanan hebat hingga ke akhir saingan untuk memaksa kami terus bekerja keras serta berjuang dan kami telah melakukannya dengan baik.

"Kami akan menikmati kejayaan ini dengan peminat kami, kemudian kami akan bersedia untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara."

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pada minit kedua di La Rosaleda dan Karim Benzema menggandakan kedudukan Madrid untuk mendahului 10 minit selepas separuh masa kedua.

Namun, mereka harus berterima kasih kepada wira sebenar, penjaga gol, Keylor Navas, kerana memastikan gawnag mereka terus selamat.

"Ia adalah perlawanan dan tahun yang sukar tetapi kami adalah pasukan paling konsisten untuk meraih ganjaran ini.

"Ini adalah hadiah buat sebuah kumpulan pemain yang telah berkorban dalam memastikan terus konsisten -- kami jarang keciciran mata.

"Kami bersaing sengit dan fokus sepanjang tahun. Kami telah menderita tetapi kami mendapat mata yang diperlukan dan kami layak meraih gelaran ini," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video