Skip to main content

Bola Sepak

KAFA sedia lepaskan "ubi muda"

kelantan.jpg
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia melepaskan 'ubi muda' pasukan itu jika mereka mendapat tawaran lebih tinggi daripada pasukan lain bagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata keputusan tersebut diambil persatuan itu kerana tidak lagi mampu membayar gaji yang tinggi kepada pemain-pemainnya.

"Kami tidak mampu untuk membayar pemain yang melibatkan kos tinggi. KAFA akan membimbing pemain dengan kemampuan yang ada dan hanya pemain yang sanggup kekal bersama kami walaupun pasukan hanya beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata beliau tidak menafikan terdapat pemain muda dalam kesebelasan utama ‘The Red Warriors’ musim ini telah menerima risikan daripada beberapa kelab dan persatuan lain.

"Ada pemain yang ditawarkan kontrak yang tinggi oleh pasukan lain, jadi terpulang kepada pemain itu sendiri untuk kekal bersama Kelantan atau memilih haluan masing-masing.

"Untuk menawarkan kontrak kepada pemain, kami perlu mengikut kemampuan kerana musim depan kami hanya akan bermain dalam Liga Perdana, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata pihaknya masih belum menerima sebarang pencalonan bagi pemilihan dua kekosongan naib presiden persatuan itu walaupun kongres tahunan dijangka akan diadakan hujung bulan ini.

"Setakat ini, tidak ada pencalonan daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mahupun individu yang tampil secara sukarela bertanding jawatan tersebut.

"Kami amat mengalu-alukankan calon yang mempunyai kelayakan dan komitmen bagi membantu KAFA," katanya.

Sebelum ini dua Naib Presiden KAFA, iaitu Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, melepaskan jawatan tersebut Jun lalu berikutan tidak sehaluan dengan kepimpinan persatuan itu.

-- BERNAMA

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video