Kad merah Conor Gallagher dalam kemenangan Chelsea ke atas Brighton semalam adalah yang ke-31 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, secara tidak langsung mengatasi koleksi musim lalu.

Hukuman keras ke atas Gallagher pada hujung minggu lalu mengulangi disiplin penyerang Sheffield United, Oli McBurnie, yang terlebih dahulu mengutip kad merah kedua musim ini dalam kekalahan kepada Burnley pada Sabtu lalu.

30 pemain secara keseluruhannya telah menerima kad merah sepanjang kempen ini yang menyaksikan 14 kelab telah mengalami satu kes di buang padang sementara Aston Villa, Brentford, Crystal Palace, Luton, Manchester United dan Newcastle terkecuali.

Liverpool memungut kad merah tertinggi iaitu sebanyak empat kali di sebalik hukuman terhadap Alexis Mac Allister ketika menentang Bournemouth telah dibatalkan atas rayuan.

Virgil van Dijk, Diogo Jota dan Curtis Jones masing-masing menjadi penyumbang kepada rekod buruk ini.




Gallagher menjadi pemain ketiga Chelsea yang dibuang padang musim ini, sekali gus menyertai senarai Malo Gusto dan Reece James untuk sebaris dengan Burnley, Tottenham dan Wolves.

Musim lalu menyaksikan 29 pemain EPL dibuang padang dengan pemain tengah Manchester United, Casemiro, satu-satunya pesalah berulang.

Enam tonggak Wolves yang terdiri daripada Nelson Semedo, Mario Lemina, Jonny, Nathan Collins, Diego Costa dan Matheus Nunes meletakkan kelab itu di kedudukan teratas.