Skip to main content

Bola Sepak

Juventus tawan Stade Louis II

buffon-040517.jpg
MONACO 0 JUVENTUS 2 

Massimiliano Allegri berkata Gianluigi Buffon telah membuktikan dia adalah penjaga gol terbaik di dunia apabila membantu Juventus mengatasi AS Monaco, awal pagi tadi. 


Juve meraih kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara hasil sentuhan penggempur berbisanya, Gonzalo Higuain.

Namun, Buffon memainkan peranan penting dengan menyelamatkan gawangnya sebanyak lima kali untuk memastikan rekod enam perlawanan tanpa bolos secara berturut-turut dalam saingan Eropah -- satu rekod kelab -- dan tidak hairanlah mengapa Allegri memuji persembahan pemain berusia 39 tahun itu di Stade Louis II.

"Prestasi Gigi Buffon dalam perlawanan penting tidak boleh dipertikaikan lagi," kata Allegri kepada laman sesawang kelab itu.

"Gigi adalah penjaga gol terbaik di dunia dan dia telah menunjukkannya dalam perlawanan ini. Pemain-pemain terbaik mampu menyerlah di peringkat getir seperti ini.

"Monaco adalah pasukan yang hebat, mereka memiliki teknikal berbakat, tetapi kami bermula dengan baik. Ia kelihatan mudah tetapi kami membuat beberapa kesilapan dan Gigi memastikan kedudukan kekal 0-0.

"Mereka mencipta beberapa peluang baik selepas kami mendahului tetapi Gigi berada di sana untuk menyelamatkan percubaan mereka, jadi terdapat banyak sebab untuk kami gembira.

"Semua pemain pertahanan beraksi dengan baik -- permainan seperti ini membuktikan betapa bagusnya mereka."

Allegri menegaskan tugas itu belum lagi selesai menjelang pertemuan kedua di Turin, minggu depan, dengan Juve mengintai perlawanan akhir kedua dalam tempoh tiga tahun.

"Anda perlu menyerahkannya kepada pemain, saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana ia bukan mudah untuk datang ke sini menentang Monaco dalam perlawanan pertama," kata ketua jurulatih Juve itu.

"Kami masih perlu bermain dalam perlawanan kedua dan tugas kami belum lengkap. Mereka tidak akan rugi apa-apa, jadi kami  sekali lagi perlu melakukan tugas ini secara profesional.

"Pemain mengharungi musim yang hebat tetapi kini kami mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, jadi kami harus memberi tumpuan."
 

Advertisement

Must Watch Video