Juventus tidak cuba berhubung dengan pengendali Manchester City, Pep Guardiola, bagi menggantikan Massmiliano Allegri, kata pengarah sukan kelab itu, Fabio Paratici.
Agensi Itali, AGI, Khamis lalu mendakwa Juve telah mencapai persetujuan dengan Guardiola bagi menggantikan tempat Allegri selaku pengurus pasukan.
Menurut laporan, pengendali dari Catalan itu bersedia menandatangani kontrak empat tahun bernilai EUR24 juta (RM112 juta) setiap musim bersama Bianconeri pada 4 Jun ini sebelum diperkenalkan kepada media 10 hari kemudian.
Eksekutif City Football Group, Alberto Galassi, menafikan dakwaan tersebut sambil mendakwa ia tidak masuk akal dan kini Paratici memberi kenyataan mengenai laporan itu dengan menyifatkannya sebagai asing.
"Saya rasa kami hidup dalam dunia yang asing," kata Paratici.
"Kami tidak berhubung. Kami tidak pernah memikirkannya kerana Guardiola masih memiliki kontrak. Untuk ribuan alasan, ia tampak asing buat saya."
Beberapa nama, termasuk Mauricio Pochettino dan Maurizio Sarri, dikaitkan dengan jawatan tersebut tetapi Paratici berkata Juventus tidak akan tergesa-gesa untuk membuat keputusan.
"Kami mempunyai perancangan yang jelas," tambahnya.
"Kami telah katakan bahawa kami melakukan penilaian dan terdapat persaingan yang berlaku. Sehingga semua kejohanan tamat, ia tampak bagus buat saya sambil menghormati situasi ini."
Paratici turut menambah Juve tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan pemain baru dan gembira menunggu buat individu baru sebelum memasuki jendela perpindahan.
"Kami akan bertindak berdasarkan arah tuju pengendali baru," ujar Paratici.
"Sebelum meneruskan perancangan, kami akan tunggu dengan tenang. Kami akan cuba meningkat setiap tahun."
Penulis Jemputan
Sun May 26 2019