Skip to main content

Bola Sepak

Juventus buktikan kebolehan sebenar -- Bonucci

ronaldo.jpg
Leonardo Bonucci menganggap Juventus membuktikan mereka adalah pasukan berkualiti selepas mengatasi ketiadaan Cristiano Ronaldo yang dilayangkan kad merah untuk menundukkan Valencia 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Ronaldo diperintah keluar padang pada minit ke-29 selepas dilayangkan kad merah dalam aksi sulung UCL bersama Juve selepas berlaku insiden dengan Jeison Murillo di Mestalla.

Pemain berusia 33 tahun itu mengalirkan air mata selepas terpaksa meninggalkan padang, dengan peraturan UEFA menyaksikan Ronaldo digantung satu perlawanan di samping memiliki hak untuk melanjutkan penggantungan di atas kelakukannya -- menyaksikan dia bakal terlepas aksi di Old Trafford berdepan bekas majikannya, Manchester United.

Dua penalti daripada Miralem Pjanic memastikan mata maksimum buat Juve dan Bonucci yang mengkritik pengadil perlawanan, Felix Brych, menganggap kejayaan mengatasi kekurangan itu membuktikan kebolehan sebenar pasukan.

"Ronaldo sangat marah. Pengadil melayangkan kad merah tetapi kami mengatasi halangan ini," kata Bonucci.

"Kami membuktikan Juve adalah pasukan yang berkualiti. Keupayaan kami meraih kemenangan ini adalah asas untuk kami menghadapi musim ini.

"Pada saya, ia sekadar pertembungan yang biasa. Perkara sebegini boleh berlaku dalam perlawanan dan kami perlu menghadapinya."
 

Advertisement

Must Watch Video