Skip to main content

Bola Sepak

Jelius punya strategi kekang PKNP

sabah-jelius.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata dia mempunyai perancangan dan strategi tersendiri bagi mengekang dan seterusnya membenam PKNP FC dalam aksi Kumpulan D,  Piala Malaysia di Stadium Likas, malam esok.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata dia bersama pemain serta pegawai pasukan telah menonton rakaman perlawanan membabitkan PKNP FC untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi pasukan daripada Liga Super itu.

"Kami sekali lagi bertemu dengan pasukan yang kuat. PKNP FC memiliki pemain muda yang sangat bekerja keras, kami kena hati-hati dan saya harap pemain kami sekali lagi dapat membuktikan kekuatan mereka walaupun bertemu dengan pasukan daripada Liga Super.

"Saya bersama-sama dengan pemain juga telah melihat rakaman perlawanan membabitkan PKNP FC, kami ada strategi tersendiri untuk menundukkan mereka.

"Saya harap apa yang kami rancang akan dilaksanakan dengan baik," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata dia kemungkinan besar akan mengekalkan kesebelasan utamanya ketika aksi bertemu Pahang tempoh hari.

"Hanya Dendy Lowa yang belum dapat dipastikan sama ada akan cergas untuk aksi esok atau tidak. Sekiranya tidak, dia akan digantikan dengan pertahanan berpengalaman, Alto Linus.

"Selain itu, kami juga masih belum dapat menggunakan khidmat pemain tengah dari Jepun, Keisuke Ogawa, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh dan sama ada Dendy atau Alto.

Sabri Sahar juga dijangka terus mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Hamran Peter manakala dua penyerang import, Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic, kekal sebagai pemburu jaringan buat Sang Badak.
 

Advertisement

Must Watch Video