Skip to main content

Bola Sepak

JDT perlu tunggu kelulusan guna stadium baru

datuk-windsor.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima tamparan apabila Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, mengesahkan Stadium Sultan Ibrahim belum diberi lampu hijau untuk digunakan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

JDT dijadualkan menggunakan gelanggang berkenaan dalam aksi pembuka tirai perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kedah, 28 Februari ini, iaitu empat hari sebelum JDT melayani kunjungan kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings, untuk perlawanan kedua Kumpulan G ACL.

Namun, Harimau Selatan berdepan kemungkinan tidak dapat menggunakan stadium baru itu dalam masa terdekat ekoran masih belum mendapat kelulusan AFC.

"AFC telah dimaklumkan oleh FAM kerana masih ada beberapa perkara yang belum diselesaikan di stadium baru itu.

"Ada kemungkinan JDT akan menggunakan stadium di Larkin terlebih dahulu atau pun terus menggunakan stadium baru," katanya di Bukit Jalil. 

Tiada pilihan lagi, juara berganda musim lalu itu – Liga Super dan Piala Malaysia -- perlu memenuhi spesifikasi pertandingan AFC terlebih dahulu untuk memastikan stadium baru berkenaan dapat digunakan bagi perlawanan di laman sendiri.

"Biasanya kami tidak membenarkan pasukan bertukar-tukar stadium tetapi AFC telah dimaklumkan mengenainya sejak beberapa bulan lalu lagi.

"Jadi kami sudah bersiap-sedia mengenai soal peralihan daripada stadium lama kepada yang baru."


Editor: Shaiful Shamsudin
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found