Skip to main content

Bola Sepak

JDT kempunan mata penuh di Manjung

jdt-pknp.jpg
PKNP FC  2 JDT 2

Semangat tidak berputus asa PKNP FC membuahkan ganjaran apabila mengikat gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-2 dalam perlawanan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.


Ketinggalan 0-2 selepas hanya 14 minit melalui dua jaringan Gonzalo Cabrera, anak buah Abu Bakar Fadzim itu bangkit untuk menafikan kemenangan pelawat dalam perlawanan ketiga itu.

Begitupun, seperti dijangka, pelawat lebih awal menguasai permainan dengan corak serangan pantas dan tersusun oleh Safawi Rasid.

Kelincahan pemain itu membuka ruang buat Cabrera untuk melepaskan sepakan leret yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Shafiq Afifi Suhaimi, pada minit ke-10.

Tiga minit kemudian, Shafiq tewas lagi apabila Cabrera melencongkan bola melepasinya untuk gol kedua JDT.

Gol itu, yang sepatutnya membunuh semangat PKNP FC, mendatangkan kesan sebaliknya apabila tuan rumah bangkit untuk melakukan asakan ke kubu lawan.

Usaha mereka berhasil apabila Hafiz Ramdan dijatuhkan dalam kotak penalti dan Yashir Pinto tidak mensia-siakan peluang itu untuk merapatkan jurang menjadi 1-2 dalam babak pertama.

Aksi rancak diperlihatkan kedua-dua pasukan dalam babak kedua sebagai usaha untuk memburu kemenangan.

JDT, malangnya, bagaikan hilang sengat biarpun memiliki beberapa peluang menambah jaringan. 

Tindakan memasukkan Akhyar Rashid turut gagal membantu JDT dalam misi mengutip mata penuh selepas turut diikat 1-1 dalam pertemuan Liga Super di tempat sama sebelum ini. 

Sebaliknya, kesabaran PKNP FC serta kerajinan Pinto dan Giancarlo Lopes, membuatkan pelawat mengigit jari apabila Lopes menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-78 untuk membolehkan tuan rumah mengutip satu mata berharga. 

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan A, PKNS FC menyekat impian Kedah untuk melakar kemenangan kedua apabila mengikat keputusan 1-1 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Fernando Rodriguez terlebih dahulu meletakkan skuad Lang Merah itu di depan pada minit ke-21 sebelum PKNS FC membalasnya menerusi sentuhan Romel Morales pada minit ke-70.

Advertisement

Must Watch Video