Skip to main content

Bola Sepak

JDT dalam kelas tersendiri

jdt-1.jpg
Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi mangsa belasahan terbaru Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan juara Liga Super itu menang 6-0 di Stadium Sultan Ismail, sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan 5-0 ke atas Perak, JDT menerima kunjungan penghuni tangga kedua Liga Super, Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain.

JDT, seperti perlawanan terdahulu, bermula garang dengan serangan demi serangan yang dilancarkan ke arah kubu pertahanan Kedah.

Mereka berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-23 menerusi tampanan Fernando Forestieri.

Penjaga gol skuad Hijau Kuning, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, menjadi pemisah antara JDT dan gol dalam separuh masa pertama susulan deretan aksi cemerlang menafikan jentera serangan skuad Harimau Selatan.

Bersambung dalam separuh masa kedua, JDT hanya memerlukan tiga minit untuk menggandakan jaringan, kini giliran pertahanan, Feroz Baharudin, menanduk masuk bola yang gagal disambar Kalamullah.

Jaringan tersebut ternyata menghadirkan semangat buat tuan rumah untuk mengganas, dua lagi jaringan terhasil menerusi Oscar Arribas dan Bergson da Silva menjadikan kedudukan 4-0.

Dua lagi jaringan JDT disempurnakan oleh Arif Aiman Md Hanapi dan Leandro Vasquez melengkapkan kemenangan bergaya mereka ke atas Kedah.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT gah di persada liga apabila mengumpul mata penuh daripada lapan perlawanan.

Sementara itu dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor FC merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan FC. Jaringan yang disempurnakan oleh Ayron del Valle dan dua daripada Rauf Salifu membantu Gergasi Merah melonjak ke tangga kedua liga dengan 19 mata.

Keputusan lain: 

Terengganu FC 2 Kuching City 0

Penang FC 4 PDRM FC 2  
 

Advertisement

Must Watch Video