Skip to main content

Bola Sepak

JDT akan tampil lebih garang -- Devan

devan2.jpg
Ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, mahu anak buahnya lebih bersedia dalam segala aspek untuk mengintai peluang sekali lagi menjinakkan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), menjelang aksi kedua Kumpulan B. Piala Malaysia di tempat lawan, malam ini.

Pengendali itu mengakui kejayaan pasukannya membolosi gawang JDT dalam pertemuan kedua Liga Super sebelum ini menyaksikan tuan rumah bakal turun dengan semangat baru dan corak permainan yang lebih ampuh. 

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kerisauan kepada jurulatih berusia 52 tahun itu kerana anak buahnya menunjukkan tahap keyakinan yang memberangsangkan selepas melakar kejutan di Stadium Larkin. 

Baginya, saingan malam ini amat penting buat PJ City mengutip mata penuh untuk mendahului Kumpulan B tatkala mereka kini berkongsi tiga mata dengan JDT.

"Kali ini, saya rasa lawan akan siap sedia untuk menentang kami. Mungkin akan berikan kesukaran yang lebih tinggi. Kami boleh mengharapkan tentangan yang begitu baik daripada JDT," katanya.

Menjangkakan aksi di Larkin malam ini bakal menjadi pertemuan sengit, Devan mengekalkan kesebelasan utama yang menundukkan PKNP FC, Sabtu lalu selain tiada perubahan daripada segi corak permainan dan formasi, kecuali strategi akan diatur mengikut kekuatan pihak lawan. 

"Saya mengharapkan pemain memberi satu persembahan yang berdisiplin. Fokus dan komitmen yang baik diharapkan menjelang perlawanan akan datang."
 

Advertisement

Must Watch Video