Skip to main content

Bola Sepak

Jaringan penalti lawan rentap semangat TFC II

tfcii.jpg
Dibolosi hanya seminit selepas rehat disifatkan jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Tengku Hazman Raja Hassan, sebagai punca pasukannya gagal mempertahankan kelebihan dua gol apabila sekadar seri 3-3 dengan UKM FC di gelanggang sendiri, semalam.

Tengku Hazman berkata jaringan penalti itu menyaksikan corak permainan, disiplin serta keyakinan skuad TFC II mulai goyah, berbeza dengan aksi meyakinkan dalam babak pertama yang menyaksikan mereka mendahului 2-0.

Antara yang terkesan ialah pemain pertahanan, Muhamad Hafizal Alias, yang melakukan kesilapan berharga membawa kepada dua gol pasukan lawan, seterusnya membenarkan UKM FC bangkit.

"Berpunca sepakan penalti itu, pemain-pemain saya seperti terkejut dan belum sempat kami mengawal keadaan, UKM FC memperoleh gol penyamaan.

"Berbanding aksi babak pertama, kami hilang fokus dan memberikan banyak ruang kepada lawan melancarkan gerakan ke kawasan berbahaya," jelasnya

Mengulas lanjut persembahan pemain-pemainnya, bekas tonggak skuad kebangsaan itu melihat Piala Cabaran sebagai medan terbaik mendedahkan pemain muda yang akan menjadi tunjang pasukannya pada masa akan datang.

Sejak diberi peranan melatih TFC II, Tengku Hazman melakukan beberapa perubahan dengan memperkenalkan Muhammad Mohd Faudzi dan Mohd Amirul Hafizul Samsol selain pengguguran kapten, Mohd Hasbullah Awang, daripada senarai 18 pemain.

Jentera serangan pula menyaksikan pemain sayap, Muhamad Firas Mohd Tarmizi serta Mohammad Ramzi Sufian, mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama mengambil tempat awang import, Akanni Sunday Wasiu, yang bermula di bangku simpanan.

"Pemain-pemain ini ada keyakinan, yang pada saya, wajar diberikan peluang. Hanya pengalaman membezakan, terutama dalam situasi satu lawan satu," tambah Tengku Hazman.
 

Advertisement

Must Watch Video