PIALA FA
Jangan ambil mudah cabaran Jerantut FA -- Durakovic
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak mengambil mudah apabila bertemu pasukan Liga M4, Jerantut FA, dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pertengahan bulan ini.
Pengendali kelahiran Australia berusia 53 tahun itu menjelaskan walaupun dilihat memiliki kelebihan selaku pasukan Liga Super, dia menggesa barisan pemainnya menampilkan aksi terbaik berdepan pasukan dari Pahang itu yang berhasrat meneruskan rentak cemerlang mereka dalam edisi ke-30 saingan tahunan tersebut.
“Berdasarkan format kalah mati, perlawanan ini bukannya mudah walaupun berdepan pasukan amatur, terutama kami diundi untuk beraksi di tempat lawan.
Iklan
“Sudah tentu lawan kami mahu meneruskan momentum kemenangan mereka, namun jika pemain terus memberi fokus kepada keseluruhan perlawanan, kami mampu meraih kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Durakovic kagum dengan peningkatan prestasi penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang memainkan peranan penting semasa Perak mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan, dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Perak, semalam.
“Shahrel mengalami kecederaan agak lama dan tidak beraksi dalam empat perlawanan terakhir tetapi saya berpuas hati dengan prestasinya dan berharap dia dapat mengekalkan prestasi baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Durakovic.
Berkongsi pandangan sama adalah kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, yang mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang ringan cabaran Jerantut FA walaupun pasukan lawan beraksi dalam liga bawahan (M4).
“Di atas kertas, Jerantut FA bermain dalam liga bawahan (Liga M4) tetapi saya fikir mereka mungkin sudah bersedia selepas melalui beberapa perlawanan dalam Piala FA 2019. Namun, kami akan berusaha bagi memastikan Perak menang dalam perlawanan itu.
"Saya sendiri semestinya mahu menjulang Piala FA 2019 dan menjadi juara adalah sasaran Perak musim ini,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Jerantut FA, Ahmad Nazri Mat Noor, berkata pasukannya bertekad memberi aksi terbaik di laman sendiri bagi memastikan mereka dapat melangkah jauh dalam saingan kali ini.
Jerantut FA menempah tiket ke pusingan ketiga Piala FA selepas mengatasi Johor Bharu FA 3-0 dalam pusingan kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Isnin lalu.
“Kami mengharapkan sokongan padu penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ untuk menaikkan semangat pemain berdepan juara Piala Malaysia 2018.
“Bagi kami, tidak rugi apa-apa memandangkan kami pasukan amatur dan bagi saya, menang atau kalah itu nombor dua kerana lebih penting pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka di laman sendiri,” kata Ahmad Nazri yang pernah melatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Presiden Pahang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video