BOLA SEPAK
Jamaludin mahu pemain pamerkan aksi terbaik
Pengurus Felda United, Datuk Jamaludin Ahmad, memberi kata dua kepada pemain The Fighters untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing dalam pertemuan Liga Super menentang Sarawak di laman sendiri pada malam ini.
Skuad Felda tidak lagi mempunyai misi penting untuk dilunaskan setelah mereka terkeluar daripada persaingan Piala Malaysia baru-baru ini.
The Fighters juga sudah pun mengesahkan kedudukan kedua di dalam liga musim ini.
Iklan
Ini bermakna dua perlawanan terakhir, dilihat sekadar pelengkap jadual buat Felda, namun tanggapan itu pantas ditepis Jamaludin, yang menegaskan ia merupakan aksi penting untuk anak-anak buah Irfan Bakti.
"Tidak ada apa-apa yang mudah untuk perlawanan malam ini. Pemain-pemain Felda juga mengharapkan kemenangan kerana mereka juga akan menentukan sama ada mereka akan terus kekal bersama pasukan atau bakal disingkirkan.
"Kerana itu mereka perlu menunjukkan permainan yang baik supaya dipilih dan disambung kontrak mereka pada musim akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu, Jamaludin turut berasakan kemenangan sememangnya cukup penting buat pasukannya, memandangkan pertemuan menentang Sarawak adalah aksi terakhir di laman sendiri musim ini.
"Ingin saya jelaskan bahawa pasukan Felda akan bermain bermati-matian untuk mencari kemenangan. Pasukan Sarawak perlu lebih berhati-hati dalam perlawanan malam ini."
Must-Watch Video



