Skip to main content

Bola Sepak

Isu penstrukturan: Ahli lembaga MFL perlu bersidang dahulu

mfl.jpg
Susulan kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang memberi bayangan tidak akan menerajui organisasi itu lagi, ahli lembaganya memilih untuk bersidang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

Masih banyak penelitian yang perlu dilakukan ahli lembaga MFL walaupun Tunku Ismail secara terang-terangan sudah memberikan gambaran untuk tidak akan bersama badan itu lagi.

Dengan perlbagai versi cerita yang mula bertebaran, ia masih tiada jawapan pasti sebelum pertemuan melibatkan enam ahli lembaga diadakan minggu depan.

Penstrukturan semula pentadbiran MFL tanpa jawatan pengerusi, bagaimanapun, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli lembaganya sendiri.

"Nampaknya, daripada apa yang saya baca, penstrukturan baru itu tidak memerlukan pengerusi.

"Tetapi macam mana penstrukturan itu saya masih belum dapat butirannya, jadi kami kena tunggu Kevin (Ramalingam) punya pembentangan untuk membuat keputusan.

"Kita faham pengerusi itu dilantik melalui kongres, jadi kami perlu bawa kepada ahli lembaga untuk membincangkannya dengan lebih lanjut.

"Jika ia dipersetujui, mungkin kami boleh membawanya ke kongres untuk membuat keputusan," kata Ahli Lembaga MFL, Datuk Yusoff Mahadi.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin, turut mengesahkan satu kongres akan diadakan September depan.

Ia turut akan mengambil kira persetujuan daripada 24 rakan kongsi MFL, iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia, berhubung cadangan penstrukturan semula itu.

"Dalam mesyuarat rakan kongsi liga yang akan datang, mana-mana keputusan yang melibatkan MFL yang sebesar ini, akan terletak kepada keputusan semua ahli-ahli MFL, iaitu pasukan-pasukan (Liga-M) dan FAM.

"Jika penstrukturan ini diluluskan, walaupun saya nampak kenapa Tunku nak buat dan kenapa Tunku setuju dengan arah tuju ini, cadangannya ialah daripada pentadbiran yang baik, untuk memastikan kesemua ahli MFL sama berkuasa," katanya.

Advertisement

Must Watch Video