Skip to main content

Bola Sepak

Isu gaji: PDRM sedia terima hukuman

pdrm.jpg
Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefli Yahya, akur dengan segala hukuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas usaha mereka untuk berunding dengan beberapa bekas pemain import yang terlibat dengan isu tunggakan gaji, berakhir dengan kegagalan.

Daripada segi penilaian mudah, PDRM gagal menyelesaikan masalah itu pada tarih akhir pertama semalam.

Ia akan mengakibatkan mereka dihukum dengan pemotongan tiga mata sebelum bermulanya Liga Super hujung bulan ini.

Menyedari situasi itu tidak memihak pasukannya, ACP Zulkefli akur seandainya PDRM menerima hukuman daripada FAM.

"Kami tidak mempunyai kemampuan, bukan kami tak mahu bayar.

"Kami juga sudah mengemukakan tawaran kami.

"Jadi, jika orang tidak bersetuju, apakan daya kami.

"Kami kena redalah.

"Kami bukan tak mahu bayar, kami akan bayar.

"Cuma kami tidak mampu bayar jumlah keseluruhan, kami cuma mampu bayar 30 hingga 40 peratus.

"Pemain tempatan sudah bersetuju, cuma pemain import tidak," katanya.

Dalam pada itu, bekas penolong jurulatih PDRM, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengesahkan bahawa pasukan itu masih belum mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan untuk menyelesaikan urusan tunggakan gajinya.

Dia berharap agar FAM dapat membela nasib mereka dengan satu penyelesaian yang bersifat positif.

"Buat masa ini, masih belum ada apa-apa pergerakan dalam pembayaran gaji.

"Apa yang menjadi masalah ialah kami tidak menerima gaji selama hampir lima bulan.

"Jadi, apa juga pergerakan yang dilakukan PDRM dan FAM, masih belum ada sesiapa daripada pihak PDRM yang menghubungi saya untuk berbincang," katanya

Wan Mustaffa akan tetap meneruskan tuntutan pembayaran gajinya dan mahu PDRM bertanggungjawab dalam menunaikan janji mereka.

"Saya sudah memulakan prosiding afidavit dan sekiranya masih tiada keputusan daripada PDRM, saya akan meneruskan afidavit itu," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found