Skip to main content

Bola Sepak

Isco teruja atasi Atletico untuk ke final

isco-cropped_117zdg3kjfyk216ckvqf7tpgoz.jpg
Wira Real Madrid, Isco, berkata kejayaan mengatasi pasukan jiran, Atletico Madrid, untuk melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah merupakan satu perasaan yang menakjubkan.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu memulakan aksi separuh akhir kedua di Vicente Calderon dengan kedudukan selesa selepas kemenangan 3-0 dalam aksi pertama minggu lalu.

Bagaimanapun, Atleti berjaya mencuri dua gol dalam tempoh 16 minit pertama menerusi Saul Niguez dan Antoine Griezmann, lantas mendatangkan kebimbangan buat Los Blancos.

Isco memadamkan kerisauan tersebut selepas berjaya mencuri gol di tempat lawan pada minit ke-42, sekaligus membawa Los Blancos ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Dengan kejayaan dalam LaLiga hampir pasti berada dalam genggaman, Isco percaya Real mengatasi satu halangan besar dalam kejayaan mengatasi Atletico.

"Kami sangat gembira, pencapaian ini bukan mudah, kami telah mengatasi seteru yang sukar," Isco memberitahu Marca. "Melangkah ke final dengan cara sebegini adalah satu perasaan yang hebat.

"Seperti yang kami jangka, mereka akan meledak gol yang akan berpunca daripada kesilapan kami. Kami memulakan perlawanan dengan kurang baik tetapi kemudian kami bangkit.

"Gol yang kami jaringkan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar.

"Selepas ketinggalan 2-0, akhirnya kami kembali dalam permainan. Agak memalukan kerana hanya selepas ketinggalan dua gol, barulah kami membuka mata."

Walaupun minit akhir perlawanan dibayangi hujan lebat, namun pemain Real Madrid kekal di atas padang bagi mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir.

"Mereka layak mendapat ucapan terima kasih. Mereka kekal teguh memberi sokongan walaupun dalam hujan lebat."
 

Advertisement

Must Watch Video